WASHINGTON – Platform perkongsian video YouTube telah memadam lebih daripada 700 video dan menutup akaun tiga pertubuhan hak asasi manusia utama Palestin, lapor Middle East Monitor semalam.
Menurut portal bebas The Intercept, akaun yang dipadam milik Al-Haq, Al Mezan Center for Human Rights, dan Palestinian Centre for Human Rights.
Ketiga-tiga saluran tersebut sebelum ini menyiarkan pelbagai rakaman yang mendakwa berlakunya pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel di Gaza dan Tebing Barat.
Laporan The Intercept turut menyebut bahawa antara kandungan yang dipadam termasuk siasatan terhadap serangan Israel, testimoni mangsa terselamat, serta dokumentasi pembunuhan wartawan Palestin-Amerika, Shireen Abu Akleh.
Pemadaman akaun itu berlaku pada awal Oktober lalu, tidak lama selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap pertubuhan-pertubuhan tersebut atas alasan kerjasama mereka dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Pihak YouTube mengesahkan tindakan tersebut dibuat selepas semakan dalaman yang dipicu oleh sekatan AS, sambil menjelaskan bahawa platform itu terpaksa mematuhi undang-undang perdagangan antarabangsa.
Bagaimanapun, aktivis hak asasi manusia dan kumpulan pro-Palestin mengecam tindakan itu, menyifatkannya sebagai cubaan untuk membisukan suara rakyat Palestin serta menghapuskan bukti penting berkaitan jenayah perang yang berlaku.
Mereka juga menegaskan bahawa pertubuhan-pertubuhan terbabit tidak diberi sebarang amaran awal sebelum saluran mereka dipadam sepenuhnya.
Sumber: Kosmo
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








