Gaza (QNN) – Sistem kesihatan di Gaza terus runtuh walaupun beberapa minggu telah berlalu sejak gencatan senjata bermula. Hospital-hospital beroperasi tanpa peralatan, stok ubat sudah mencapai tahap sifar, dan pesakit meninggal dunia ketika menunggu rawatan.
Dr. Munir Al-Bursh, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, mendedahkan realiti suram ini. Beliau menyatakan bahawa sistem kesihatan kini tidak lagi menyerupai sebuah struktur yang berfungsi. Dinding yang musnah dan bilik bedah yang kosong membuktikan kerosakan besar yang berlaku.
Dalam satu temu bual bersama Al Jazeera, beliau menggambarkan keadaan Gaza sebagai “infrastruktur yang runtuh” dengan kekurangan bekalan kritikal. Menurut Al-Bursh, kekurangan ubat asas mencapai 84%, manakala 40% ubat kecemasan telah habis sepenuhnya sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kementerian. Bekalan perubatan kini menghadapi defisit 71%, dan barangan mudah seperti kain kasa turut hilang dari stok. Cecair IV hanya mampu bertahan selama sebulan, menjadikan penjagaan asas hampir mustahil.
Bahan api dan komunikasi terus terputus. Kebanyakan makmal terpaksa dihentikan operasi. Bantuan kemanusiaan pula sangat terhad kepada hanya dua daripada lima trak bantuan mingguan sampai kepada Kementerian Kesihatan, manakala selebihnya diperoleh oleh organisasi antarabangsa. Al-Bursh menegaskan jumlah itu “tidak membawa apa-apa makna” berbanding keperluan sebenar Gaza.
Kekurangan ini memberi kesan paling teruk kepada pesakit kanser, dengan defisit ubat kanser mencecah 71%. Sembilan puluh peratus bekalan untuk pembedahan ortopedik hilang sepenuhnya. Ribuan mangsa cedera kini memohon untuk dipindahkan keluar Gaza kerana ketiadaan peralatan asas pembedahan.
Al-Bursh turut berkongsi statistik mengejutkan iaitu 82% bayi di bawah usia setahun mengalami anemia. Beliau menyatakan angka ini membuktikan tahap bencana kemanusiaan yang berlaku dan menyangkal dakwaan Israel bahawa makanan tersedia di Gaza.
Lebih 18,000 orang memohon untuk rawatan di luar Gaza, termasuk 7,000 mangsa cedera, 5,000 kanak-kanak, pesakit kanser dan kes pembedahan kritikal. Namun pintu sempadan kekal ditutup, menyebabkan keadaan mereka semakin buruk.
Beliau menegaskan bahawa Israel memberikan gambaran palsu dengan membenarkan barangan pengguna masuk ke Gaza sambil menghalang alat perubatan dan bekalan kritikal. Dasar ini semakin menekan sektor kesihatan.
Antara keperluan mendesak yang disenaraikan Al-Bursh ialah ubat kecemasan dan pembedahan yang kini berkurangan 54%, serta bekalan perubatan yang mengalami defisit 71%. Kementerian juga memerlukan hospital lapangan dan alat ganti untuk membaiki peralatan rosak.
Beliau yakin bahawa pasukan perubatan Gaza mampu membina semula sistem kesihatan sekiranya bekalan dapat masuk dan pintu sempadan dibuka. Beliau mengingatkan bahawa pasukan ini pernah mengendalikan bilik kecemasan tanpa elektrik dan melakukan pembedahan tanpa peralatan lengkap sepanjang perang.
Al-Bursh menjelaskan langkah pemulihan yang diperlukan untuk membuka pintu sempadan, memastikan aliran ubat dan bekalan, membenarkan kemasukan bahan api, serta membawa masuk peralatan perubatan dan hospital lapangan. Tanpa langkah-langkah ini, katanya, kematian menjadi “perkara paling mudah yang dihadapi rakyat.”
Beliau mendedahkan bahawa 1,000 pesakit meninggal dunia ketika menunggu pemindahan perubatan, walaupun mempunyai dokumen rasmi yang membuktikan keperluan rawatan di luar negara. Ini, katanya, adalah antara tanda paling merbahaya runtuhnya sistem kesihatan.
Beliau turut menambah angka tragik lain iaitu 6,000 orang kehilangan anggota badan dan kini memerlukan pemulihan fizikal dan psikologi, termasuk prostetik dan kerusi roda. Beliau memberi amaran bahawa isu ini “sangat berbahaya” tanpa sumber mencukupi. Trauma psikologi menjadikan keadaan lebih parah, dan bahkan ubat tahan sakit asas pun tidak ada.
Beliau menegaskan bahawa dunia menyaksikan tragedi ini tetapi tidak berbuat apa-apa. Al-Bursh menutup kenyataannya dengan menyatakan bahawa Gaza kini berdepan keruntuhan kesihatan total. Pemulihan sektor ini bergantung sepenuhnya kepada pembukaan pintu sempadan dan kemasukan bantuan perubatan serta kemanusiaan. Sehingga itu berlaku, ribuan pesakit di Gaza kekal berada di ambang kematian setiap hari.
Sumber: Quds News Network
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








