2019 bakal saksikan cabaran LGBT, liberalisme lebih kuat

 

TAHUN lalu yang ditinggalkan tentu banyak meninggalkan kesan kepada semua. Pelbagai hal dan perkara berlaku sama ada menggembirakan mahupun mewariskan kedukaan yang boleh dijadikan pengajaran dan pengalaman.

Tidak dinafikan juga sepanjang 2018 dianggap tahun mencabar kepada agama dan institusi Islam apabila menerima tekanan hebat yang berlaku dalam negara ataupun secara global, sekali gus bertepatan dengan hakikat akhir zaman.

Malah, memasuki 2019 ini, boleh dikatakan Islam akan terus dicabar dan ditekan oleh musuhnya baik secara fizikal mahupun serangan secara halus.

Setiausaha Agung Ikatan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI), Syed Shahridzan Syed Mohamed, berkata cabaran dan tekanan yang semakin meningkat diterima Islam memerlukan umatnya untuk menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Katanya, dunia tanpa batasan dan capaian internet di hujung jari menjadikan ada yang hanya belajar agama secara dalam talian tetapi sudah mengaku sebagai ulama dan seterusnya cuba mencari kelemahan Islam.

“Mereka mula mengutuk dan mencari kelemahan Islam dengan pelbagai alasan untuk memuaskan kehendak bagi memenangi pemikiran mereka.

“Ia menjadi cabaran cukup besar yang memerlukan teknik dan pendekatan sistematik, sekali gus dapat membawa mereka kembali ke jalan yang sebenar.

“Ia bagi memastikan cabaran mengganggu-gugat kedudukan dan akidah Islam dibasmi atau dikurangkan risikonya supaya tidak menjadi penyakit berjangkit,” katanya.

Syed Shahridzan berkata, tahun 2018 juga boleh dianggap sebagai bangkitnya fahaman liberalisme dan lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT) yang terus mencengkam pemikiran umat Islam.

Namun lebih mencabar minda dan sensitiviti umat Islam apabila golongan itu semakin mendapat tempat di media sosial, tidak ketinggalan di media arus perdana.

Syed Shahridzan berkata, pengaruh LGBT yang dibawa mencabar fitrah, sunnah dan undang-undang agama, malah fahaman liberalisme bertentangan dengan prinsip al-Quran dan hadis.

“Menjadi cabaran dakwah untuk menghadapi pemikiran ini supaya tidak menular dan berjangkit kepada masyarakat.

“Malah cabaran lebih besar juga untuk memberi penjelasan kepada umat Islam mengenai bahaya pengaruh LGBT dan fahaman liberalisme yang semakin mendapat tempat dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, generasi muda semakin mengagumi budaya hedonisme yang walaupun beragama Islam, mereka menterjemah Islam mengikut falsafah dan kebebasan pemikiran sendiri.

“Malah cabaran juga untuk memberi penjelasan kepada golongan bukan Muslim mengenai Islam yang sebenar, iaitu agama yang tidak pernah mengekang dan mengongkong, tidak seperti tanggapan masyarakat luar,” katanya.

Justeru, Syed Shahridzan berkata, masyarakat bukan Muslim perlu dijelaskan supaya Islam dilihat sebagai agama rahmat, sekali gus dapat menyelamatkan umat manusia daripada malapetaka dunia ekoran kehancuran akidah dan kehidupan.

Beliau berkata, umat Islam perlu bermuhasabah selepas melihat kemungkaran yang semakin berleluasa dan musibah yang sering berlaku baik di dalam mahupun luar negara.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan berapa banyak Kami binasakan penduduk negeri yang berlaku zalim dan Kami jadikan sesudah mereka, kaum yang lain.” (Al-Anbiya: 11)

Beliau berkata, zalim dimaksudkan ahli tafsir dalam ayat itu ialah kemungkaran dan pelanggaran perintah Allah SWT yang dilakukan umat terdahulu sehingga dihancurkan sebelum kiamat.

“Musibah yang berlaku juga ujian dan pada masa sama, disebabkan kemungkaran yang dilakukan tangan kita. Banyak ayat al-Quran dan hadis yang Allah SWT menurunkan musibah kepada kaum terdahulu disebabkan kemungkaran.

“Jadi kita perlu mengambil iktibar supaya dijauhkan daripada musibah dan mengharapkan rahmat Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan serta mengikut manhaj pemahaman Islam sebenar yang dibawa Rasulullah SWT,” katanya.

Dalam konteks cabaran luar, Syed Shahridzan berkata, umat Islam perlu berwaspada dengan ancaman dan agenda dilakukan oleh Barat untuk melemahkan mengganggu-gugat akidah.

Dari Abu Sa’id Al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: ‘Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat RA bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang tuan maksudkan?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (HR Muslim)

Beliau berkata, budaya Barat semakin menjadi ikutan dan berleluasa dalam masyarakat, sekali gus antara agenda Yahudi untuk merosakkan akidah apabila tidak mampu mengalahkan umat Islam dengan peperangan.

“Sejak zaman Rasulullah SAW, Khulafa al-Rasyidin sehingga Salahuddin al-Ayubi, peperangan yang dilalui banyak dimenangi tentera Islam.

“Mereka cuba melemahkan umat Islam melalui sosial, budaya dan pemikiran serta menjauhkan penghayatan Islam daripada kita hingga kelemahan akidah menyebabkan kita tidak lagi bersungguh-sungguh mempertahankan Islam.

“Hari ini, umat Islam diratah, dipijak dan dihina, manakala hak dan keistimewaan Islam mula dipertikaikan daripada segenap lapisan masyarakat tetapi malangnya kita tidak berani bersuara dan tidak mampu mengambil tindakan,” katanya.

Lebih menyedihkan, beliau berkata, apabila pihak yang menghentam dan mempertikaikan itu termasuk dalam kalangan umat Islam yang lemah pengetahuan serta jahil hingga mengagungkan budaya budaya bukan Islam.

 

 

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Meeftah Anuar, berkata ancaman, tekanan dan cabaran yang diterima Islam memerlukan umatnya untuk bersatu.

Beliau berkata, umat Islam perlu mengetepikan segala perbezaan dan bersatu atas nama Islam serta menjadikan al-Quran dan hadis sebagai sumber penyatuan tertinggi.

Namun jelas Mohd Meeftah, penyatuan itu memerlukan pengorbanan dan jiwa yang besar kerana mungkin ada keinginan serta kemahuan terpaksa dikorbankan.

“Kita perlu mencari jalan menyatukan umat Islam supaya tidak terus berpecah-belah dan hidup berpuak-puak hingga Islam dilihat lemah.

“Perlu ada program merentasi sempadan ideologi khususnya menjadikan masjid sebagai tempat umat Islam bersatu dan bergabung.

“Selain itu, seorang tokoh yang boleh diangkat dan menjadi perantara perlu ada dalam masyarakat, malah kita perlu membina esrta melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin masa hadapan yang dapat menyatukan umatnya,” katanya.

Katanya, dalam usaha menghadapi ancaman dan cabaran musuh itu, umat Islam perlu merentasi segala ilmu pengetahuan.

“Ilmuwan dan agamawan tidak boleh sekadar berada dalam lingkungan ilmu agama, sebaliknya merentasi bidang lain seperti perundangan, ekonomi, kewangan dan hubungan antarabangsa.

“Ini menjadikan kita boleh melihat isu dengan sebenarnya dan tidak hanya bermain sentimen,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam perlu bergerak seiring dengan kemajuan dan perubahan di dunia agar mampu bersaing di pentas global.

“Dalam bidang perfileman contohnya, kita masih kekurangan tokoh dalam bidang seni yang boleh mengangkat karya untuk menyebarkan Islam sedangkan Barat menggunakan medium itu untuk menyebarkan dakyah,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts