50 jemaah dibenar solat Jumaat, solat sunat Aidiladha di masjid Johor

 

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) membenarkan solat Jumaat bermula esok dan solat sunat Aidiladha bagi semua masjid di negeri ini dihadiri seramai 50 orang.

Jemaah itu membabitkan imam, bilal, noja, ahli jawatankuasa (AJK) pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah yang digilirkan di kawasan itu saja.

Bagi solat fardu lima waktu di masjid dan surau bermula esok, hanya 20 jemaah dibenarkan membabitkan imam, bilal, noja, AJK jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah di kawasan itu.

Kebenaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai ketua agama Islam negeri seperti peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah JAINJ, Datuk Md Rofiki Samsudin, semalam.

Katanya, bagi surau Jumaat dan surau Jumaat sementara, bilangan jemaah dibenarkan seramai 20 orang membabitkan imam, bilal, noja, AJK pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah digilirkan di kawasan itu.

“AJK pengurusan kariah masjid dan surau serta jemaah yang hadir ke masjid atau surau perlu lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 kecuali imam, bilal dan noja yang bertugas,” katanya.

Katanya, syarat dua dos lengkap suntikan vaksin COVID-19 perlu dipenuhi AJK masjid dan surau serta jemaah yang hadir.

“Mana-mana jemaah lelaki yang mukallaf dan tidak mendapat giliran hadir solat Jumaat di masjid serta surau Jumaat, perlu menunaikan solat Zohor di rumah. Mereka juga tidak dibenarkan berada di tempat awam seperti pusat beli-belah atau pusat rekreasi ketika waktu solat Jumaat kerana akan menimbulkan fitnah kepada agama Islam.

“JAINJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) perlu membuat pemantauan prosedur operasi standard (SOP) masjid serta surau. Jika ada yang melanggar SOP, pusat ibadah itu perlu ditutup,” katanya.

Sementara itu, solat jenazah bukan kes COVID-19 di masjid dan surau dibenarkan dengan bilangan jemaah tidak melebihi 20 orang.

Katanya, aktiviti ziarah tanah perkuburan Islam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan dengan mematuhi SOP.

“Kehadiran ketika pengebumian jenazah dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 50 orang tidak termasuk petugas tanah perkuburan dengan syarat bukan jenazah pesakit COVID-19,” katanya. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts