BANGI, 27 SAFAR – Lelaki Islam di Terengganu yang culas menunaikan solat Jumaat bakal berdepan tindakan undang-undang meskipun hanya sekali meninggalkannya tanpa alasan munasabah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, menjelaskan bahawa perkara itu selaras dengan pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016, yang telah berkuat kuasa selepas digubal beberapa tahun lalu.
Menurut beliau, sebelum pindaan dilakukan, tindakan hanya boleh dikenakan kepada mereka yang tidak hadir solat Jumaat tiga kali berturut-turut. Namun, selepas pindaan dibuat, ponteng sekali pun sudah boleh dikenakan tindakan mengikut perundangan yang ditetapkan.
Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagaimanapun, hukuman hanya akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir sekiranya individu berkenaan mengabaikan peringatan yang diberikan.
“Peringatan ini penting kerana solat Jumaat bukan sahaja syiar, tetapi juga lambang ketaatan umat Islam,” katanya seperti dipetik daripada Harian Metro.
Dr Muhammad Khalil turut memaklumkan bahawa pemasangan kain rentang peringatan di pekarangan masjid seluruh negeri adalah bertujuan memberi amaran jelas mengenai kewajipan solat Jumaat, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Terengganu.
Beliau menegaskan, pelaksanaan undang-undang ini perlu difahami sebagai usaha mendidik serta menjaga martabat Islam, khususnya dalam membentuk kesedaran generasi muda.
“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil berdasarkan laporan orang awam, rondaan, atau operasi bersepadu pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama pihak berkuasa tempatan,” katanya lagi.
Peruntukan berkenaan sebenarnya telah wujud sejak undang-undang mula digubal pada 2001, sebelum dipinda pada 2016.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam