KOTA BHARU – Penganjur Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza yang diadakan di Sungai Kelantan, Jumaat lalu, dan terpalit dengan insiden pengibaran bendera Israel semasa gimik persembahan, bakal didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, memaklumkan bahawa siasatan kes berkenaan telah siap 80 peratus dan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya tidak lama lagi.
Menurut beliau, penganjur program terbabit telah memberi keterangan selama tiga jam kepada pihak polis semalam.
“Pihak yang terlibat mengaku serta bertanggungjawab atas tindakan tersebut. Lima lagi saksi yang merupakan pelakon dalam persembahan itu juga akan memberi keterangan hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Mohd. Yusoff menegaskan bahawa mengibarkan sebarang lambang kebangsaan tanpa kebenaran, termasuk bendera Israel, adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
Sebelum ini, Kosmo! Online melaporkan bahawa penganjur program tersebut telah tampil memberi keterangan kepada polis berhubung kejadian itu.
Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan tetap dijalankan walaupun tindakan itu sekadar gimik atau lakonan semula yang dikaitkan dengan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Mohd. Yusoff menasihatkan mana-mana pertubuhan supaya tidak mengibarkan bendera Israel dalam sebarang bentuk persembahan atau protes, walaupun dengan tujuan untuk mengecam kekejaman rejim tersebut.
Sumber: Berita Kosmo
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam