Empat nasihat buat jemaah haji

  1. Pertama, setiap jemaah haruslah memasakkan niat agar ibadah yang dilakukannya bukanlah kerana manusia. Rasulullah mendidik kita agar berdoa supaya ibadah haji yang kita laksanakan dijauhkan dari sifat riyak dan sum’ah. Sabda Rasulullah:

اللَّهُمَّ حَجَّةٌ لَا رِيَاءَ فِيهَا وَلَا سُمْعَةَ

Ya Allah, (jadikanlah haji ini) haji yang suci, tanpa riyak dan mencari kemasyhuran. (HR Ibn Majah)

  1. 2. Amalan yang dimulakan dengan niat yang benar menjadikan kualiti amalan tersebut lebih bernilai di sisi Allah. Atas sebab itu al-Imam Abdullah bin Mubarak menyebutkan:

رُبَّ عملٍ صغير تعظمه النية، ورُبَّ عملٍ عظيم تحقره النية

“Barangkali amalan yang kecil menjadi besar ganjarannya disebabkan kerana niat, dan barangkali amalan yang hebat dinilai hina disebabkan kerana niat (yang salah).

  1. Kedua, setiap jemaah haji wajib menjauhkan diri mereka dari sebarang perkara maksiat. Dosa yang dilakukan ketika haji akan menjejaskan ibadah dan menggugurkan peluang mabrur. Kata al-Imam al-Nawawi:

الْمَبْرُورُ الَّذِي لَا مَعْصِيَةَ فِيه

“Sesungguhnya haji yang mabrur itu ialah haji yang tidak dicampuri dengan perkara maksiat” (al-Majmu’ )

2.1. Dalam riwayat al-Baihaqi, Rasulullah dikatakan memalingkan wajah al-Fadl bin Abbas dari melihat-lihat kaum wanita ketika berada di Arafah. Sabda Baginda kepada anak muda itu:

إِنَّ هَذَا يَوْمٌ مَنْ مَلَكَ فِيهِ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ وَلِسَانَهُ غُفِرَ لَهُ

“Sesungguhnya pada hari ini, sesiapa yang menguasai pendengarannya, pandangannya dan lisannya maka dia akan diampunkan oleh Allah.” (Syuab al-Iman)

  1. Ketiga, setiap jemaah seharusnya mengambil iktibar dan melakukan refleksi dalam setiap ibadah haji yang disyariatkan kepada mereka. Ketika tawaf mereka merenungi ibadah yang turut dilaksanakan oleh para malaikat ini. Ketika wuquf, mereka merenungi Mahsyar yang bakal mereka tempuhi. Bukan mereka sibuk untuk berselfie atau melakukan video call di hadapan Kaabah.

3.1. Ketika Rasulullah menuruni Wadi al-Azraq, Baginda memberitahu para sahabat bahawa Baginda seakan-akan melihat Nabi Musa turut turun mengucapkan talbiyah dengan suara yang kuat. Begitu juga saat melewati Thaniyyah Harsha Baginda menyatakan seakan-akan melihat Nabi Yunus melaungkan talbiyah.

Dalam hadis ini, Rasulullah mengambil kesempatan untuk memberikan refleksi dan bimbingan kepada para sahabat dalam setiap lokasi yang ditempuhi. Begitulah para jemaah haji mengambil iktibar dan pengajaran pada setiap pelosok bumi yang dilalui mereka.

  1. Keempat, para jemaah haji juga dinasihatkan agar tidak menyakiti jemaah lain dalam melaksanakan ibadah. Rasulullah dikatakan menegur Umar supaya tidak bersesak di Hajarul Aswad kerana dibimbangi menyakiti manusia. Sabda Nabi:

يا عُمَرُ، إنَّك رجُلٌ قويٌّ، لا تُزاحِمْ على الحَجَرِ فتُؤذِيَ الضعيفَ

Wahai Umar, sesungguhnya kamu adalah lelaki yang sasa, janganlah kamu bersesak dengan manusia di Hajar kerana ditakuti kamu akan menyakiti manusia. (HR Ahmad)

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts