BANGI, 14 Jamadilawal – Muslim Friendly Watch (MFW) mengumumkan pembubaran rasminya mengikut peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) selepas menerima teguran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung isu penggunaan istilah ‘Muslim Choice’.
Keputusan itu dibuat susulan isu berkenaan yang menarik perhatian umum baru-baru ini, selepas pihak berkuasa agama menegaskan bahawa pengiktirafan ‘Muslim Choice’ bukanlah satu perakuan halal yang sah dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Menurut kenyataan MFW yang dilaporkan oleh Bernama, proses pembubaran pertubuhan itu akan dilaksanakan dengan tertib serta melalui kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi memastikan ia mematuhi semua prosedur yang sah.
MFW turut menyatakan bahawa pihaknya menghormati ketetapan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, serta kenyataan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Pihak pertubuhan menjelaskan bahawa semua operasi dan sistem di bawah MFW telah ditamatkan sepenuhnya sebagai langkah segera dan bertanggungjawab.
“Langkah ini diambil sebagai tanda kepatuhan kepada pihak berkuasa agama serta keinsafan kami terhadap kepentingan menjaga kemaslahatan ummah dan nama baik Islam di negara ini,” jelas kenyataan itu.
MFW turut mengakui bahawa setiap keputusan pihak berkuasa dibuat demi menjaga kepentingan agama, keharmonian masyarakat dan sensitiviti umat Islam.
“Sehubungan itu, kami menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka, penuh rasa tanggungjawab dan rendah diri,” tambah kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, MFW memohon maaf kepada rakyat Malaysia, khususnya pihak berkuasa agama, agensi kerajaan serta mana-mana individu atau pihak yang mungkin terkesan akibat kekeliruan yang timbul daripada isu tersebut.
Sebelum ini, Datuk Dr Mohd Na’im mengarahkan MFW menarik balik semua bentuk promosi dan pengiktirafan ‘Muslim Choice’ yang berpotensi mengelirukan pengguna Islam.
JAKIM menegaskan bahawa istilah ‘Muslim Choice’ bukanlah penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama, manakala Datuk Dr Sirajuddin menambah bahawa penggunaannya boleh menimbulkan kekeliruan tentang status halal sesuatu produk atau premis.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








