Remaja Hamil Luar Nikah: Isu Seksualiti Tidak Lagi Boleh Dianggap ‘Taboo’

SHAH ALAM – Isu berkaitan seksualiti dalam kalangan remaja kini tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara taboo atau dipandang ringan. Hal ini kerana persoalan maruah dan harga diri wajib ditegaskan dengan jelas oleh ibu bapa serta ahli keluarga terdekat.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Bayt al-Rahmah, Nor Azura Kamarudin Sohami, menegaskan bahawa undang-undang yang lebih tegas berkaitan eksploitasi seksual digital dan pengantunan kanak-kanak (child grooming) perlu diperkasakan. Ini termasuk pelaksanaan intervensi keluarga serta kaunseling wajib bagi kes berisiko di pusat komuniti setempat.

Menurut beliau, usaha-usaha ini perlu dijalankan secara berterusan dan diperjuangkan bermula di peringkat Parlimen.

Beliau menegaskan bahawa isu kehamilan luar nikah tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau badan bukan kerajaan (NGO) semata-mata.

“Ia perlu diperjuangkan di kawasan Parlimen masing-masing melalui pengukuhan pelaksanaan Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) oleh KPM, di samping penggubalan undang-undang yang lebih tegas terhadap eksploitasi seksual digital serta child grooming.

“Pada masa yang sama, ekosistem keluarga mesti kembali memikul amanah tarbiah bahawa rumah adalah madrasah pertama anak-anak.

“Data yang dikemukakan membuktikan bahawa bukan hanya remaja gagal menjaga diri, bahkan golongan dewasa terdekat turut gagal mendidik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa sebanyak 16,951 remaja perempuan berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin direkodkan hamil bagi tempoh 2020 hingga 2024.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), angka tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 41,842 remaja hamil berusia 19 tahun ke bawah, sama ada telah berkahwin atau belum.

Daripada jumlah keseluruhan itu, kira-kira 50 peratus merupakan kaum Melayu, diikuti Iban (11 peratus), Orang Asli Semenanjung (sembilan peratus), Cina (lima peratus), India (tiga peratus), manakala selebihnya terdiri daripada pelbagai etnik lain.

Nor Azura menjelaskan bahawa angka-angka ini bukan sekadar statistik klinikal, sebaliknya menggambarkan krisis terhadap institusi keluarga, pendidikan nilai, serta keselamatan sosial remaja.

Beliau menambah bahawa kehamilan luar nikah sering dilihat sebagai kesilapan individu, sedangkan hakikatnya fenomena itu mencerminkan kegagalan sistem sokongan emosi, kawalan sosial digital dan pendidikan seksualiti yang seimbang antara ilmu, akhlak dan maruah dalam keluarga dan masyarakat.

“Persoalan utama bukan sekadar mengapa remaja bawah umur hamil, tetapi di manakah keluarga ketika mereka memerlukan bimbingan?

“Kehamilan luar nikah remaja adalah isu maruah, bukan hanya isu kesihatan. Ia menuntut kerjasama institusi kerajaan, sekolah, keluarga, komuniti dan media dengan pendekatan penuh rahmah.

“Bayt al-Rahmah komited untuk melindungi wanita dan remaja, membimbing serta memulihkan maruah dan jati diri mereka, serta memperkukuh institusi kekeluargaan agar krisis ini tidak menjadi norma dalam masyarakat,” ujarnya.

Bayt al-Rahmah merupakan pusat perlindungan dan bimbingan yang memberi fokus kepada pemulihan akhlak, penjagaan kehamilan, kelahiran selamat serta pemerkasaan wanita dan remaja hamil luar nikah.

Ditubuhkan pada tahun 2010, pusat ini berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 dan Unit Pemulihan Ar-Riqab Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Rumah perlindungan ini memberi tumpuan kepada intervensi yang menggabungkan pemulihan agama dan akhlak, dengan penekanan kepada nilai taubat, maruah dan hubungan dengan Tuhan.

Antara program yang dilaksanakan termasuk kaunseling psikologi individu, berkumpulan dan komuniti, pendidikan kemahiran hidup serta pengukuhan spiritual selepas pemulihan.

Bayt al-Rahmah turut menggerakkan pusat talian TIARA bagi menangani isu berkaitan remaja, ibu bapa dan individu yang berdepan risiko kehamilan luar nikah, gangguan emosi dan masalah keluarga.

Sumber: Sinar Harian

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts