KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini bertitah bahawa mana-mana individu yang enggan mematuhi prinsip Rukun Negara tidak layak dianggap sebagai warganegara Malaysia.
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 merupakan ikrar dan komitmen setiap rakyat Malaysia bagi memperkukuh perpaduan kaum serta menjamin keharmonian masyarakat.
Baginda turut menyeru semua pihak agar menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan serta panduan dalam kehidupan sebagai rakyat Malaysia.
“Jika ada mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tersebut, saya menasihati agar dia tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Sultan Ibrahim.
Titah itu dizahirkan pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, serta hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan Jemaah Menteri.
Dalam titah sama, Sultan Ibrahim menekankan kepentingan rakyat untuk bersatu padu, bertolak ansur dan saling menghormati berpaksikan Rukun Negara, yang menjadi asas kekuatan dan kestabilan negara.
Baginda turut mengingatkan agar rakyat mengambil iktibar daripada sejarah hitam negara, khususnya tragedi 13 Mei 1969, yang berlaku akibat sikap melampau, penghinaan antara kaum dan hilangnya rasa hormat sesama rakyat.
“Peristiwa ini telah meruntuhkan perpaduan rakyat dan menghancurkan kestabilan negara. Jangan sampai pisang berbuah dua kali,” titah Baginda.
Istiadat pengurniaan itu merupakan kali ketiga disempurnakan Sultan Ibrahim sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024, dengan seramai 161 penerima menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat tahun ini.
Sumber: BERNAMA
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








