GAZA: Hamas hari ini mengumumkan Khalil al-Hayya sebagai ketua biro politik baharunya selepas dipilih menerusi pemilihan dalaman organisasi itu.
Beliau menggantikan Yahya Sinwar yang syahid dalam pertempuran dengan tentera Zionis pada 17 Oktober 2024.
Sebelum ini, Al-Hayya mengetuai pasukan perunding Hamas dan memainkan peranan penting dalam rundingan gencatan senjata bagi menamatkan perang di Gaza serta pembebasan tebusan sepanjang tiga tahun lalu.
Selepas kematian Sinwar, Hamas tidak terus melantik pengganti, sebaliknya membentuk sebuah kabinet yang dianggotai lima pemimpin. Kabinet itu diketuai oleh Muhammad Ismail Darwish selaku ketua Majlis Syura Hamas, dengan Al-Hayya turut menganggotainya.
Al-Hayya dilahirkan di Gaza pada 1960 dan menghabiskan sebahagian besar kehidupannya di wilayah itu. Namun, sebelum serangan 7 Oktober 2023, beliau meninggalkan Gaza dan berpindah ke Qatar, tempat beliau menetap sehingga kini.
Pada September tahun lalu, Al-Hayya menjadi sasaran cubaan pembunuhan oleh Israel di Doha. Serangan itu bagaimanapun mengorbankan anaknya, Hammam al-Hayya, serta pengarah pejabatnya, Jihad Lubbad.
Sumber: Berita alHijrah
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








