Ada salah faham RUU sekat orang Islam murtad

PUTRAJAYA: Terdapat segelintir pihak yang mungkin salah faham dalam isu penggubalan Rang Undang-undang (RUU) bagi menyekat orang Islam murtad di tiga Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, polemik timbul susulan jawapan lisan di Parlimen akhir tahun lalu dipetik di luar konteks pihak tertentu.

“Ia asalnya penjelasan perancangan strategik kerajaan bagi menggubal sekurang-kurangnya 11 undang-undang syariah yang dijawab selepas soalan tambahan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Ini ujar beliau, termasuk RUU bagi Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama Lain Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

RUU itu masih berpaksikan Perkara 3(1) Perlembagaan yang meletakkan Islam selaku agama Persekutuan dan Perkara 11(4) untuk melarang penyebaran agama lain ke atas orang Islam.

Seterusnya, demi melindungi kesucian agama Islam katanya, kawalan itu menjadi punca RUU ini hanya dihadkan kepada individu Muslim sahaja dan bukan kepada penganut agama lain.

“Justeru, pengembangan agama kepada penganut selain Islam adalah masih dibolehkan di sisi undang-undang sebagai hak kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan,” katanya.

Idris menambah, RUU tersebut bukanlah suatu perkara baharu malahan sebanyak 10 negeri di Semenanjung Malaysia telah meluluskan enakmen yang sama sejak dekad 1980-an lagi.

Hanya tiga negeri jelas beliau, iaitu Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta Wilayah-wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang belum lagi berbuat demikian.

Namun dalam hal ini, tiga wilayah tersebut turut diberikan kuasa yang sama seperti negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan agama yang cuma terpakai di Wilayah Persekutuan.

“Bagi tiga negeri lain itu yang masih belum ada enakmen tersebut, proses penggubalannya adalah bergantung kepada kuasa Dewan Undangan Negeri masing-masing,” tambah beliau.

Proses itu di Wilayah Persekutuan tegasnya, tetap juga sama seperti RUU lain yang perlu mengikut tertib sewajarnya dan turut memerlukan persetujuan dasar di peringkat jemaah Kabinet.

Bahkan kata Idris, ia juga harus mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan perlu kemudian diluluskan di peringkat Parlimen sebelum diwartakan sebagai undang-undang.

Beliau percaya bahawa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah meneliti isu itu sebaiknya dan memastikan proses penggubalan RUU ini dilaksanakan mengikut tertib betul.

“Saya berharap agar isu ini tidak dipolemikkan oleh pihak tertentu sehingga mungkin akan menggugat keharmonian masyarakat majmuk dan perpaduan Keluarga Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts