Agama Islam dan parti Islam tidak boleh disamakan – Mufti

GEORGETOWN – Agama Islam tidak akan tertegak dengan slogan semata-mata sebaliknya ia ditegakkan dengan amalan di dalam kehidupan rakyat yang sejahtera dan berkebajikan di samping pentadbiran negara yang baik, bersih dan cekap.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, mana-mana individu atau kumpulan boleh mendakwa mereka memperjuangkan Islam, tetapi dakwaan itu perlu dibuktikan dengan jelas dalam realiti kehidupan.

Menurutnya, Islam boleh ditegakkan secara bijaksana tanpa mencanangkannya kepada umum seperti melaksanakan keadilan sosial, meratakan kebajikan, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah, maksiat dan sebagainya.

“Apa yang penting, segala ajaran Islam perlu dihayati di dalam urus tadbir negara dan kehidupan warganya dengan baik. Di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, mencanangkan perjuangan untuk menegakkan Islam mungkin kurang bijaksana.

“Selain itu, yang lebih penting adalah umat Islam mempraktikkan ajaran-ajaran Islam di dalam diri masing-masing maka dengan sendirinya Islam akan tertegak di negara ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang didakwa melabel dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu sebagai melawan perjuangan Islam.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan Mohd Nassuruddin apabila beliau menegaskan dalam ucapan yang dirujuk itu, beliau hanya menyebut sebagai perjuangan Islam dan bukannya melawan Islam sebagaimana didakwa kedua-dua wakil rakyat terbabit.

Dalam pada itu, Wan Salim menambah, umum perlu tahu membezakan antara agama Islam dengan parti Islam.

“Islam adalah satu misi suci bersumberkan wahyu Ilahi. Setiap Muslim wajib terikat dengan agamanya (Islam) di sudut akidah (kepercayaan) mahu pun amalan dengan mematuhi segala hukum yang ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah,” katanya.

Beliau berkata lagi, parti Islam hanya ciptaan manusia sebagai sebuah wadah untuk memperjuangkan Islam atau melaksanakan segala ajarannya menerusi pentadbiran negara.

“Sebuah parti Islam hanya rekaan manusia dan tidak bersifat suci, maka ia tidak mengikat seorang Muslim. Oleh demikian, tidak berdosa apa lagi menjadi kafir kepada sesiapa yang tidak menyokong parti Islam atau mengundi parti lain.

“Hanya sikap taksub yang mendorong seseorang untuk menyamakan rekaan manusia dengan ciptaan Ilahi. Saya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, malah tidak mahu dikaitkan dengan politik.

“Penjelasan yang saya berikan ini semata-mata berlandaskan ajaran Islam, tidak lebih daripada itu. Saya berharap dengan penerangan saya ini, ia tidak disalah tafsir dan akan dipolitikkan oleh mana-mana parti politik,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts