Agensi agama bantu tangani isu kesihatan mental

 

Pasir Mas: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam Negeri termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menangani masalah komuniti yang berdepan dengan tekanan.

Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, menerusi kerjasama tersebut pihak terbabit akan bersama-sama mencari jalan membantu komuniti yang menghadapi masalah.

“Pada peringkat awal iaitu Jumaat ini, kami akan mengadakan mesyuarat dengan Jakim terlebih dahulu untuk kami mendapat kerjasama bagaimana pihak jabatan agama dapat bersama-sama membantu kami untuk menangani masalah komuniti kita yang tengah tertekan.

“Kami tidak mahu berlaku kejadian yang tidak elok termasuk membabitkan bunuh diri kepada mereka yang berdepan dengan cabaran (dalam tempoh ini),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Masjid Mukim Lubuk Stol, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa laporan media sebelum ini mengenai kejadian bunuh diri dipercayai akibat menghadapi tekanan ketika tempoh penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, selain daripada pembabitan jabatan hal ehwal agama itu pihaknya juga akan membabitkan kaunselor untuk tujuan yang sama.

“Kami juga akan melibatkan kaunselor di sekolah-sekolah, guru-guru yang berpengalaman yang telah pencen kerana mereka ini berpengalaman untuk sama-sama membantu dalam memberi khidmat kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Siti Zailah berkata, sehingga kini kementeriannya telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik ini.

“Antaranya, membantu mereka yang keputusan bekalan makanan, mereka boleh menghubungi talian hotline dari laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mempunyai 108 pejabat JKM di seluruh daerah dan jajahan.

“Selain itu talian kasih kami beroperasi 24 jam iaitu bebas tol di talian 15999 atau nombor WhatsApp 0192615999 untuk sebarang aduan, ataupun mereka memerlukan kaunseling mereka akan disambungkan ke bahagian kaunseling, iaitu kaunselor yang bertauliah,” katanya. – MyMetro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts