Agong seru rakyat contohi akhlak Rasulullah, bicara benar jauhi fitnah

Putrajaya– Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat mencontohi akhlak warisan maknawi Rasulullah yang mulia dalam pertuturan dengan bercakap hanya mengenai kebenaran, jujur, di samping menjauhi fitnah.

Yang di-Pertuan Agong bertitah hakikatnya perkataan yang kurang elok sama ada ketika tutur bicara mahupun ketika menulis di media sosial, kata-kata berbentuk cacian, nista dan dusta serta fitnah; hanya mengugat kestabilan dan keharmonian negara tercinta.

“Marilah kita mengambil iktibar daripada kejatuhan serta keruntuhan tamadun dan kuasa besar dunia akibat budaya fitnah yang mendominasi dan membarah dalam kehidupan bangsanya,” titah Seri Paduka sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Seri Paduka bertitah selepas kewafatan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, fenomena fitnah telah membawa kepada peristiwa amat tragis dalam sejarah Islam menerusi pembunuhan khalifah ketiga Saidina Uthman Affan.

“Demikian hebat hakikat fitnah dan tipu daya yang bukan sahaja telah menumpahkan darah seorang pemimpin Islam yang agung, malahan telah turut menghancurkan keharmonian dan kestabilan sebuah negara,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah oleh itu Allah SWT, mengingatkan umat Islam untuk menghindari serta menjauhi diri daripada orang yang berbohong.

Seri Paduka bertitah ajaran Islam dibawa Rasulullah SAW mencakupi pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk dalam mengemudi dan memerintah sebuah negara yang penuh rencam, pelbagai puak dan agama serta spektrum kedudukan sosio-ekonomi yang berbeza-beza.

Seri Paduka bertitah sirah Rasulullah SAW dalam lipatan sejarah juga mencerminkan kepakaran baginda dalam mentadbir sebuah negara.

“Hikmahnya, Rasulullah SAW telah berjaya membawa manusia keluar dari kejahilan dan kelalaian sehingga berjaya membina generasi yang cemerlang,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah Rasulullah SAW telah membawa syiar Islam untuk terus bangkit dan berkembang di benua Timur Tengah sehingga menjadi pencetus kemajuan dan kejayaan masyarakat di benua lain yang sedang dalam kegelapan ketika itu.

Seri Paduka bertitah masyarakat dunia memperlihatkan dengan contoh akhlak terpuji Rasulullah SAW sebagai penanda aras nilai insani.

Sempena sambutan Maulidur Rasul itu, Al-Sultan Abdullah turut menyeru agar rakyat terus berpegang kepada tuntutan Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW.

“Dengan yang demikian, kita akan dapat membangunkan sebuah negara yang bertamadun dan berjaya, harmoni serta sejahtera dengan rakyat yang menjiwai sifat karamatul insan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah baginda yakin Malaysia akan mencapai puncak kejayaan hakiki apabila syariat Islam dan nilai murni serta ketinggian akhlak yang dibawa Rasulullah SAW menjadi tatanan (aturan) tadbir urus negara.

Seri Paduka bertitah maqasid syariah perlu dijadikan kerangka asas dalam penyampaian perkhidmatan agar kemaslahatan rakyat yang menjadi tanggungjawab kerajaan terus terpelihara.

“Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini, marilah kita bertekad dan beriltizam untuk terus menghidupkan syariat dan syiar yang dibawa Rasulullah SAW,” titah Seri Paduka.

Turut berangkat ke sambutan bertema “Perpaduan Teras Malaysia MADANI” pagi ini ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Cintaku diuji

  Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin Hanya zikrullah yang mampu memberikan ketenangan kepada si suami, Ahnaf Abdul Qais,…