Ahli Fatwa perlu terus dalami ilmu agama: Raja Perlis

 

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis diingatkan supaya tidak berhenti mengkaji dan meneliti perkembangan ilmu agama, walaupun telah mempunyai latar belakang pengajian yang tinggi.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bertitah, usaha untuk terus mendalami ilmu itu akan membantu mereka dalam memutuskan pandangan dan hukum agama dengan lebih teliti.

“Telitilah dalam memutuskan sesuatu hukum atau pandangan. Ketahuilah bahawa apabila pandangan dan hukum itu telah diputuskan, ia akan memberi kesan yang besar kepada negara dan umat Islam keseluruhannya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan mengurniakan tauliah kepada 18 Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis 2019 dan Ahli Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis Sesi 2019, di Istana Perlis, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam titah amanat itu Raja Perlis turut meminta ahli fatwa menyumbang kepada perkembangan ilmu di Perlis menerusi sebarang bentuk ucapan mahupun penulisan.

Namun titah baginda ia haruslah berlandaskan pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah, di samping mengiktiraf dan menghargai kesemua mazhab dalam sejarah umat Islam.

“Negeri Perlis perlu dibangunkan sebagai pusat ilmu pengetahuan berkaitan agama. Perlis benteng ahli Sunnah Wal Jamaah dengan pendekatan yang sederhana lagi rasional.

“Kita juga ambil manfaat daripada semua khazanah tanpa fanatik dan taksub. Inilah pegangan Perlis sejak sebelum merdeka lagi,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 18 penerima tauliah itu dan mahu mereka menerimanya sebagai amanah daripada Allah.

Pada majlis itu, Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendahului senarai penerima tauliah bagi sesi 2019 diikuti timbalannya Ustaz Roslan Esa.

Antara penerima lain ialah veteran agama Perlis Datuk Ustaz Ahmad Jusoh, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Datuk Dr Mohd Radzi Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohamad Nazim Mohd Noor. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts