GAZA, 5 Safar – Dunia dikejutkan dengan pemergian tragis seorang aktivis hak asasi manusia Palestin yang dihormati, Owdeh Hathaleen, yang maut ditembak oleh seorang penceroboh bersenjata Israel dalam satu insiden berdarah di Tebing Barat yang diduduki rejim Zionis.
Insiden berlaku berdekatan perkampungan Umm al-Khair, berhampiran penempatan haram Carmel. Mangsa yang juga dikenali sebagai suara lantang rakyat Palestin dalam perjuangan menentang penjajahan, merupakan salah seorang perunding kepada dokumentari pemenang Anugerah Oscar, No Other Land (2024), yang memaparkan penderitaan rakyat Palestin akibat pendudukan Israel.
Tembakan Tanpa Provokasi
Menurut saksi kejadian, seramai lima individu menyaksikan sendiri tembakan dilepaskan secara langsung ke arah Owdeh oleh seorang penceroboh Yahudi. Mereka menafikan sebarang provokasi daripada mangsa.
Sepupunya, Alaa Hathaleen, turut berada di lokasi dan sempat merakam insiden menggunakan telefon bimbit. Alaa menjelaskan bahawa Owdeh “berada jauh dan tidak melakukan sebarang provokasi ketika ditembak.” Dalam temu bual bersama Reuters, beliau menzahirkan kesedihan mendalam, “Kenapa mesti kami sentiasa menjadi pihak yang kalah, merasai kesakitan seperti ini setiap hari, kehilangan insan yang kami sayangi?”
Cubaan Menutup Jenayah
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan tentera Israel, mereka mendakwa kononnya “seorang pengganas telah melontar batu ke arah orang awam Israel”, dan tembakan dilepaskan oleh seorang awam sebagai tindakan mempertahankan diri.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut dilihat sebagai cubaan menutup jenayah sebenar dan mengalihkan perhatian daripada tindakan ganas penceroboh. Seperti biasa, dakwaan seperti ini sering digunakan oleh rejim Zionis untuk mengabsahkan serangan terhadap rakyat Palestin.
Polis Israel mengesahkan satu kematian telah berlaku dan memaklumkan bahawa siasatan masih di peringkat awal. Seorang warga Israel telah ditahan. Namun, berdasarkan rekod, kebanyakan kes keganasan oleh penceroboh Yahudi lazimnya berakhir tanpa sebarang pendakwaan yang bermakna.
Tangkapan Untuk Alih Perhatian
Sebagai tambahan, tentera Israel turut menahan empat warga Palestin dan dua pelancong asing yang berada di kawasan kejadian – satu taktik yang didakwa digunakan bagi memesongkan fokus daripada pembunuhan tersebut.
Simbol Perjuangan dan Kebenaran
Owdeh Hathaleen bukan sekadar aktivis biasa. Beliau merupakan simbol keberanian dan suara kebenaran rakyat Palestin, yang selama ini lantang memperjuangkan hak komuniti setempat yang hidup di bawah cengkaman rejim penjajah. Dokumentari No Other Land, yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, merupakan antara legasi perjuangan beliau dalam memperjuangkan keadilan.
Menurut organisasi hak asasi seperti B’Tselem, keganasan oleh penceroboh Yahudi di Tebing Barat meningkat secara mendadak sejak bermulanya pencerobohan berskala besar Israel ke atas Gaza pada hujung tahun 2023.
Sumber – Tv Pertiwi