Amalan mengambil berkat ( tabarruk) menurut Islam

Soalan:

Assalamualaikum wbt. Saya nak tanya berkenaan apakah status sebenar amalan mengambil berkat (tabarruk). Seringkali isu ini diperdebatkan oleh pihak yang mendokong dan menentang amalan ini setiap kali timbul isu yang berkaitan. Contohnya sebelum ini viral sekumpulan anak muda pergi ke sebuah kawasan yang dikatakan terdapat maqam orang soleh untuk bertabaruk. Mohon penjelasan tuan mufti berkenaan isu tabarruk ini, adakah ia dibenarkan atau tidak? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Jumhur ulama dari kalangan mazhab yang empat  mengharuskan amalan bertabarruk dan ada juga sebahagian ulama lain yang tidak mengahruskannya.  Bagi ulama yang mengharuskan  terdapat batas-batas yang perlu dipatuhi seperti iktikad terhadap Allah SWT dan bukannya terhadap barang atau individu, serta tidak meletakkan kaifiat-kaifiat tertentu yang tiada asas dalil. Bertabarruk adalah bersifat peribadi dan  tidak seharusnya memuat naik gambar atau video  di media sosial, kerana  boleh mengundang fitnah kepada mereka yang tidak memahaminya.Berpada-pada dalam melakukan sesuatu perkara adalah amalan yang terbaik.

Huraian Jawapan:

Pengertian Tabaruk:

Barakah dari sudut Bahasa bermaksud tetapnya kebaikan daripada Allah SWT pada sesuatu. Mengambil berkat (التبرك بالشئ) pula bermaksud: mengharapkan berkat daripada Allah SWT dengan perantara sesuatu.Setiap orang Islam perlu memahami bahawa keberkatan itu datangnya dari Allah SWT. Keberkatan tidak datang dari mana-mana benda atau individu.

Dalam al-Quran Allah SWT berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم

 بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ‎﴿٩٦﴾‏

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

(Surah al-A’raf: 96)

Raghib al-Asfahani berkata: dinamakan berkat kerana kebaikannya yang tetap pada perkara yang diberkati seumpama tetapnya air dalam bekas (البِرْكَة).

Hukum Bertabaruk Dengan Orang-Orang Soleh:

Terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai hukum bertabaruk dengan orang salih. Sebahagian ulama berpandangan bahawa hukumnya adalah harus manakala sebahagian lagi tidak membenarkannya.  

Jumhur ulama dalam kalangan ulama empat mazhab membenarkan untuk bertabaruk dengan orang soleh. Perbahasan mengenai bertabaruk dengan orang soleh dibincangkan pada pelbagai bab dalam kitab fikah.

Dalil-dalil keharusan bertabaruk dengan orang-orang soleh:

1. Al-Quran:

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ آيَةَ مُلْكِهِ أَن يَأْتِيَكُمُ التَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَبَقِيَّةٌ مِّمَّا تَرَكَ آلُ مُوسَىٰ وَآلُ هَارُونَ تَحْمِلُهُ الْمَلَائِكَةُ ۚ

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ‎﴿٢٤٨﴾‏

Maksudnya: “Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”.

(Surah al-Baqarah: 248)

Dalam kitab al-Futuhat al-Ilahiyyah disebutkan bahawa Bani Israel memiliki sebuah bekas yang akan diletakkan di hadapan mereka ketika mereka ingin berperang. Mereka mengharapkan kemenangan melaluinya. Dalam bekas tersebut mengandungi antaranya serban Nabi Harun AS  dan selipar serta tongkat Nabi Musa AS.

2. Hadis:

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ كانَ يُؤْتَى بالصِّبْيانِ فيُبَرِّكُ عليهم ويُحَنِّكُهُمْ، فَأُتِيَ بصَبِيٍّ فَبالَ عليه، فَدَعا بماءٍ، فأتْبَعَهُ بَوْلَهُ ولَمْ يَغْسِلْهُ

Maksudnya: “Beberapa orang bayi dibawa kepada Baginda lalu Nabi mendoakan keberkatan dan mentahnikkan mereka. Kemudian seorang bayi dibawa kepada Nabi lalu bayi itu terkencing (di atas riba Nabi SAW). Nabi meminta air lalu Nabi membersihkan kencing tersebut tanpa membasuhnya.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi ketika menjelaskan makna hadis ini berkata:

وفي هذا الحديث فوائد: منها تحنيك المولود عند ولادته وهو سنة بالإجماع كما سبق. ومنها أن يحنكه صالح من رجل أو امرأة. ومنها التبرك بآثار الصالحين وريقهم وكل شيء منهم

Maksudnya: “Pada hadis ini terdapat beberapa pengajaran, antaranya: mentahnikkan kanak-kanak yang baru lahir dan ia merupakan suatu yang disunatkan berdasarkan ijmak para ulama, antaranya lagi metahnikkan oleh seorang yang salih sama ada lelaki atau perempuan dan juga mengambil berkat dengan peninggalan, air liur atau apa sahaja daripada orang-orang yang soleh.”

Antara hujah yang lain, iaitu satu riwayat hadis yang berbunyi:

كَانَ يَنْفُثُ عَلَى نَفْسِهِ فِي الْمَرَضِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ، فَلَمَّا ثَقُلَ كُنْتُ أَنْفُثُ عَلَيْهِ بِهِنَّ وَأَمْسَحُ بِيَدِ نَفْسِهِ لِبَرَكَتِهَا

Maksudnya: “Nabi SAW mengubati dirinya Ketika baginda sakit yang menyebabkan baginda wafat dengan membaca muawwizat(surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas). Manakala ketika Nabi SAW dalam keadaan gering aku membacakan muawwizat dan meniupkannya serta menyapu dengan tangan Baginda kerana keberkatannya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Hajar al-Asqalani menerangkan bahawa hadis ini menunjukkan keharusan bertabaruk dengan orang yang soleh begitu juga dengan seluruh anggotanya khususnya tangan yang kanan. Dalam sebuah riwayat yang lain disebutkan bahawa:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ لَمَّا اسْتُخْلِفَ كَتَبَ لَهُ، وَكَانَ نَقْشُ الْخَاتَمِ ثَلَاثَةَ أَسْطُرٍ مُحَمَّدٌ سَطْرٌ، وَرَسُولُ سَطْرٌ، وَاللهِ سَطْرٌ

Maksudnya: “Ketika Abu Bakar RA dilantik sebagai khalifah beliau menulis surat mengenai kadar zakat, adalah ukiran cincin memiliki tiga baris Muhammad sebaris, Rasul sebaris dan Allah sebaris.”

(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Hajar al-Asqalani dalam hal ini juga berkata:

وفيه استعمال آثار الصالحين ولباس ملابسهم على جهة التبرك والتيمن بها

Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan keharusan menggunakan peninggalan atau memakai pakaian orang salih untuk tujuan tabaruk dan mengambil kebaikan daripadanya”

(Surah al-An’am: 17)

Manakala makhluk pula tidak mempunyai kuasa dan kudrat untuk memberi kesan kepada sesuatu apa pun melainkan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Hal ini sepertimana api tiada kuasa untuk membakar, makanan tiada kuasa untuk memberi kenyang dan seumpamanya kecuali semuanya itu berlaku dengan izin dan kehendak Allah SWT. Imam al-Dardir dalam syarah Kharidahnya menjelaskan bahawa:

وعلم أيضا أنّه لا تأثير للأمور العاديّة في الأمور التي اقترنت بها، فلا التأثير للنار في الإحراق ولا للطعام في الشبع ولا للماء في الري ولا في إنبات الزرع ولا للكواكب في إنضاج الفواكه وغيرها ولا للأفلاك في شيء من الأشياء ولا للسكِّين في القطع ولا لشيء لدفع حرّ أو برد أو جلبهما أو غير ذلك، لا بالطبع ولا بالعلّة لا بقوّة أودعها الله فيها، بل التأثير في ذلك لله تعالى وحده بمحض اختياره عند وجود هذه الأشياء.

Maksudnya: “Dapat difahami bahawa tidak ada yang memberi kesan bagi perkara yang bersifat adat dengan perkara berkait dengannya. Hal ini seperti tiada kuasa bagi api untuk membakar, makanan untuk memberi kenyang, air untuk menghilangkan dahaga dan menumbuhkan tumbuhan, bintang-bintang untuk menumbuhkan buah-buahan dan lain-lain. Begitu pula tiada kuasa bagi cakerawala untuk memberi kesan kepada satu pun daripada perkara tersebut. Juga tiada kuasa bagi pisau untuk memotong, tiada kuasa bagi sesuatu pun yang dapat menghalang kesejukan dan kepanasan atau mendapatkan kedua-duanya atau selain daripada itu. Kesemua itu tiada kuasa bagi mereka sama ada dengan tabiat, ‘illah atau upaya yang Allah SWT letakkan padanya. Bahkan kesemua kesan itu hanya daripada Allah SWT dengan semata-mata pilihan-Nya yang menentukan wujudnya perkara-perkara tersebut.”

Oleh yang demikian, kepercayaan bahawa sesuatu selain daripada Allah SWT dapat memberi kesan sama ada manfaat atau mudarat adalah batil. Ini dapat dilihat dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim bahawa Saidina Umar al-Khattab RA pernah menyebutkan bahawa:

إِنِّى لأُقَبِّلُكَ وَإِنِّى أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَأَنَّكَ لاَ تَضُرُّ وَلاَ تَنْفَعُ وَلَوْلاَ أَنِّى رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَبَّلَكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Maksudnya: Sesungguhnya aku mencium-mu (Hajarul Aswad) dalam keadaan aku mengetahui bahawa kamu hanyalah sebiji batu yang tidak memberi mudarat dan manfaat. Jika aku tidak melihat Rasulullah SAW mencium-mu, maka sudah tentu aku tidak akan mencium-mu.

(Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini jelas bahawa Umar al-Khattab RA tidak menganggap bahawa Hajarul Aswad itu boleh memberikan kesan sama ada manfaat atau mudarat, bahkan beliau melakukannya dengan tujuan memberitahu orang yang berada di sekelilingnya bahawa beliau hanya mengikut sunnah Rasulullah SAW dan bukan mengagungkan batu tersebut.

Syeikh Ali al-Jumuah dalam kitabnya berkata bahawa perbuatan tabarruk adalah harus dilakukan dengan iktiqad bahawa tiada apa-apa kuasa kebergantungan selain daripada Allah SWT. Jika demikian maka tidak mengapa perbuatan tabarruk tersebut kerana selari dengan hukum alam di mana semua perbuatan dan hasil sesuatu kejadian merupakan sebab dan akibat daripada Allah SWT. Ini secara tidak langsung bermaksud tabarruk yang disertai iktiqad bahawa perbuatan ini paling mujarab atau tempat-tempat tertentu yang mampu memberi kesan kepada sesuatu hasil yang hajat maka ia dilarang.

Justeru diringkaskan antara batas-batas lain yang perlu diperhalusi ketika melakukan amalan bertabarruk adalah seperti berikut:

  • Tidak meletakkan iktiqad bahawa ada kekuatan lain yang boleh membantu kita selain Allah SWT
  • Tidak meletakkan kaifiyat-kaifiyat tertentu yang tiada asas dalam dalil seperti apa yang perlu dilakukan ketika melawat tempat tersebut, atau menetapkan tarikh khusus
  • Tidak berlebih-lebihan dalam perbuatan ibadah atau tabaruk seperti memuat naik gambar ke dalam media sosial.
  • Mengutamakan mengambil faedah daripada warisan dan tinggalan orang soleh berupa ilmu dengan menelaah hasil-hasil karya mereka atau meneladani kehidupan melalui kisah-kisah hidup mereka.

Kesimpulannya, setiap perbuatan bertabaruk dengan sesuatu hendaklah disertai dengan keimanan bahawa tiada apa yang dapat memberi manfaat atau mudarat selain Allah SWT dan kepada-Nya sahaja kita berharap dan memohon pertolongan. Ulama yang mengharuskan amalan tabaruk ini juga bahkan mensyaratkan bahawa mestilah perbuatan bertabaruk tersebut aman dari fitnah.  Imam Ibn Hajar al-Asqalani ketika menjelaskan mengenai hadis seorang sahabat bernama Itban bin Malik yang menjemput Nabi SAW untuk solat di rumahnya berkata:

ويستفاد منه أن من دعي من الصالحين ليتبرك به أنه يجيب إذا أمن الفتنة

Maksudnya: “Difahami dari hadis ini bahawa orang salih yang dijemput boleh memenuhi undangan tersebut jika aman dari fitnah.”

Ibn Hajar al-Asqalani dalam hal ini jelas mensyaratkan perbuatan tabarruk itu mestilah tidak mendatangkan fitnah. Imam al-Syarwani yang merupakan ulama besar mazhab Syafii menjelaskan bahawa hendaklah orang yang menjadi ikutan orang ramai supaya tidak melakukan perbuatan seperti mencium kubur wali di hadapan orang jahil yang tidak dapat membezakan antara memuja dan mengambil berkat.

Oleh itu, kami menasihati orang ramai supaya tidak melampau-lampau dalam mengambil berkat sehingga boleh mendatangkan fitnah. Selain itu orang ramai perlu menjauhi kepercayaan yang boleh mensyirikkan Allah SWT seperti mempercayai bahawa sesuatu perbuatan itu boleh memberi manfaat atau mudarat di samping meninggalkan kepercayaan-kepercayaan khurafat dan tidak berasas. Wallahua’lam.- Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts