Status aurat antara menantu lelaki dengan ibu mertua tiri

SOALAN

Assalamualaikum wrt.wbt. Boleh tolong jelaskan hukum sentuhan dan aurat antara menantu dan ibu mertua tiri?

RINGKASAN JAWAPAN

Islam telah menetapkan perempuan-perempuan yang haram dikahwini dengan tiga faktor iaitu perkahwinan, nasab keturunan dan susuan. Begitu juga Islam telah mengharamkan seorang lelaki mengahwini ibu mentuanya kerana kedudukan ibu mertua sebagai mahramnya. Namun begitu, sekiranya bapa kandung perempuan berkahwin lain, maka isteri baru bapa merupakan ibu tiri kepada perempuan itu dan menjadi ibu mertua tiri kepada suaminya. Kedudukan ibu mertua kandung dan ibu mertua tiri tidak sama kerana ibu mertua kandung merupakan mahram buat lelaki tersebut manakala ibu mertua tiri merupakan wanita ajnabi (bukan mahram). Oleh yang demikian, ibu mertua tiri dan menantu perlu menjaga batasan pergaulan dan aurat dengan sempurna sepertimana hubungan sebagai orang yang tiada ikatan mahram.  

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Perempuan yang dikategorikan sebagai mahram  

Mengetahui akan orang-orang yang dikategorikan sebagai mahram dan bukan mahram amat penting dan ianya bukan perkara yang boleh dianggap remeh kerana terkandung pelbagai batasan dan hukum hakam syarak berkaitan dengannya. Menurut Dr Mustafa Dib al-Bugha ketika menghuraikan kalimah mahram yang terdapat dalam hadis Sahih al-Bukhari menyatakan bahawa: 

‌ كل ما يحرم عليها التزوج منه حرمة مؤبدة

Maksudnya: Setiap individu yang diharamkan seseorang itu untuk berkahwin dengannya selama-lamanya.

(Rujuk: Sahih al-Bukhari, 3/19)

Berdasarkan kenyataan ini, dapat difahami bahawa mereka yang digolongkan sebagai mahram tidak boleh dikahwini. Mahram ini terbahagi kepada tiga sebab iaitu mahram disebabkan nasab keturunan, susuan dan perkahwinan. Mereka yang digolongkan sebagai mahram disebabkan oleh nasab keturunan adalah seperti yang disebut di dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan., dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Nisa’: 23)

Menurut Imam Ibnu Jarir al-Tabari mengenai maksud tersirat dalam ayat di atas:

حرم عليكم نكاح أمهاتكم، فترك ذكر النكاح اكتفاء بدلالة الكلام عليه
Maksudnya: Kamu semua diharamkan bernikah dengan ibu-ibu kamu, maka tidak disebutkan perkataan nikah adalah disebabkan memadai dengan petunjuk kalam ke atasnya (nikah).

(Rujuk: Tafsir al-Tabari, 6/553)

Oleh yang demikian, berdasarkan ayat di atas perempuan yang dikategorikan sebagai mahram kerana nasab ada tujuh golongan, mereka yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah:

  1. Ibu kandung termasuk nenek dan seterusnya ke atas
  2. Anak perempuan kandung termasuk cucu dan seterusnya ke bawah
  3. Adik beradik perempuan seibu sebapa
  4. Adik beradik perempuan sebapa
  5. Adik beradik perempuan seibu
  6. Ibu saudara sebelah bapa (adik beradik bapa) dan seterusnya ke atas,
  7. Ibu saudara sebelah ibu (adik-beradik ibu) dan seterusnya ke atas,
  8. Anak perempuan daripada adik-beradik lelaki mahupun daripada adik-beradik perempuan.


Sementara itu, bagi kategori perempuan mahram kerana susuan adalah sama pembahagiannya dengan perempuan mahram kerana nasab keturunan, persamaan ini adalah berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA:  

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ ‌مَا ‌يَحْرُمُ ‌مِنَ ‌النَّسَبِ


Maksudnya: ”Haram menikahi saudara (adik-beradik) perempuan kerana susuan sebagaimana haram untuk menikahi saudara perempuan kerana keturunan.”


Riwayat Ibnu Majah (1937)

Menurut kenyataan Imam Nuruddin al-Sindi ketika mensyarahkan hadis ini bahawa: 

أن الرضيع يصير ولدا للمرضعة بالرضاع فيحرم عليه ما يحرم على ولدها

Maksudnya: Sesungguhnya bayi yang menyusu itu akan menjadi anak kepada ibu susuan disebabkan penyusuan itu. Oleh itu, bayi itu diharamkan segala perkara yang diharamkan ke atas anak (kandung) ibu susuan itu.

(Rujuk: Hasyiah al-Sindi ala Sunan Ibnu Majah, 1/597)

Seterusnya, bagi kategori perempuan mahram kerana perkahwinan pula ada empat golongan yang diterangkan sebagaimana terkandung melalui firman-Nya dalam surah al-Nisa ayat 23 iaitu ibu mentua, anak menantu, ibu tiri dan anak tiri.


Mentua tiri dan menantu tiri

Umum mengetahui, apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan maka ibu bapa kandung bagi isteri akan menjadi bapa dan emak mertua bagi suami dan begitu juga sebaliknya. Namun demikian, keadaan berbeza sekiranya ibu atau bapa bagi isteri berkahwin dengan pasangan yang baru, maka ibu atau bapa yang baru bagi isteri akan menjadi bapa atau emak mertua tiri bagi suami. 

Terdapat perbezaan antara bapa mertua kandung dengan bapa mertua tiri dan antara emak mertua kandung dengan emak mertua tiri. Hal ini kerana kedudukan emak mertua kandung merupakan salah seorang mahram disebabkan perkahwinan kepada lelaki itu (menantu kandung). Menurut firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ
Maksudnya: Dan emak-emak kepada isteri-isteri kamu (emak mentua termasuk nenek perempuannya).


(Surah al-Nisa’: 23)


Sementara itu, ibu mertua tiri pula tidak akan menjadi mahram kepada lelaki (menantu tiri) itu. Malahan, lelaki itu boleh mengahwini emak mertua tirinya jika berlaku perceraian atau kematian pasangan. Hal ini menurut kenyataan Imam al-Syafie yang dinukilkan oleh Imam al-Muzani di dalam kitabnya: 

ولا بأس أن يجمع الرجل بين المرأة وزوجة أبيها وبين امرأة الرجل وابنة امرأته إذا كانت من غيرها لأنه لا نسب بينهن
Maksudnya: Seorang harus menghimpunkan (poligami) antara seorang wanita dengan (bekas) isteri bapa wanita itu (iaitu bekas emak tiri perempuan itu) atau (dengan bekas) isteri anak lelaki perempuan itu, dan menghimpunkan seorang perempuan dengan anak tiri perempuan itu, kerana antara mereka tidak ada ikatan nasab.”


(Rujuk: Mukhtasar al-Muzani, 8/270)


Justeru itu, berdasarkan kenyataan Imam al-Syafie ini, dapat difahami bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan seorang perempuan dan bekas mertua tirinya kerana kedudukan mertua kandung adalah tidak sama dengan mertua tiri. Hubungan mertua kandung dengan menantu kandungnya adalah hubungan mahram selama-lamanya. Sementara itu, hubungan mertua tiri dengan menantu pula adalah ajnabi (orang asing). Oleh yang demikian, mertua tiri dan menantu tidak boleh bersentuhan dan perlu menjaga aurat sepertimana ketika bersama dengan orang asing.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan ulama di atas, dapat disimpulkan bahawa Islam telah menetapkan perempuan-perempuan yang haram dikahwini dengan tiga faktor iaitu perkahwinan, nasab keturunan dan susuan. Begitu juga Islam telah mengharamkan seorang lelaki mengahwini ibu mentuanya kerana kedudukan ibu mertua sebagai mahramnya. Namun begitu, sekiranya bapa kandung perempuan berkahwin lain maka isteri baru bapa merupakan ibu tiri kepada perempuan itu dan menjadi ibu mertua tiri kepada suaminya. Kedudukan ibu mertua kandung dan ibu mertua tiri tidak sama kerana ibu mertua kandung merupakan mahram buat lelaki tersebut manakala ibu mertua tiri merupakan wanita ajnabi (bukan mahram). Oleh yang demikian, ibu mertua tiri dan menantu perlu menjaga batasan pergaulan dan aurat dengan sempurna seperti mana hubungan sebagai orang asing.  – Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts