Hukum syak sama ada berhadas sebelum atau selepas berwuduk

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan, Apakah hukum bagi seseorang yang meyakini bahawa dia telah berwuduk dan juga telah berhadas akan tetapi ia syak yang mana satu terjadi dahulu. Adakah wuduk atau berhadas dahulu, dan apakah hukumnya. Mohon pandangan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Orang yang meragui sama ada berhadas sebelum atau selepas berwuduk adalah dikira sebagai orang yang berwuduk sekiranya sebelum itu dia sebagai seorang yang berhadas. Ini kerana wuduk tersebut merupakan perkara yang diyakini manakala hadas yang mungkin terjadi selepas wuduk merupakan perkara syak. Akan tetapi, dinasihatkan kepada mereka untuk meninggalkan keraguan dengan mengambil wuduk semula sebagai langkah berjaga-jaga.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Terdapat satu kaedah fiqh yang menyebut:

الأصل بقاء ما كان على ما كان

Maksudnya: “Pada dasarnya sesuatu hukum itu kekal mengikut keadaan asalnya”.

Kaedah fiqh di atas menjelaskan berkenaan hukum bagi sesuatu permasalahan semasa adalah kekal mengikut hukum asal (hukum pada masa sebelumnya) selama mana tidak ada perkara lain yang membuktikan bahawa hukum asal tersebut terbatal.

Jika seseorang yakin bahawa dia telah berhadas dan dia juga telah berwuduk (bersuci) selepas terbitnya matahari, namun tidak mengetahui manakah salah satu di antara kedua – dua perbuatan tersebut yang dilakukan dahulu. Justeru, di sini para ulama mendatangkan beberapa pandangan.

Pandangan pertama; iaitu ia perlu berpegang dengan apa yang berlawanan daripada sesuatu yang diyakini sebelumnya sama ada berhadas atau suci. Ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya:

فلو تيقنهما وجهل السابق منهما فضد ما قبلهما في الأصح

Maksudnya: “Maka kalau dia meyakini keduanya dan tidak mengetahui yang terdahulu daripada keduanya maka hendaklah ia berpegang dengan apa yang berlawanan daripada sebelumnya menurut pandangan yang muktamad”.

Jika sebelumnya dia mengetahui dirinya dalam keadaan berhadas maka dihukumnya padanya kini sebagai orang yang berwuduk. Ini tidak mengambil kira sama ada mereka itu sentiasa memperbaharui wuduk ataupun tidak kerana suci itu adalah sesuatu yang diyakini dan hadas yang berkemungkinan terjadi selepas suci adalah syak. Justeru, perkara syak tidak dikira dan hukum asalnya adalah suci.

Manakala, jika sebelumnya dia mengetahui dirinya dalam keadaan berwuduk maka dihukumkan padanya kini sebagai orang yang berhadas dan hukum ini hanya teraplikasi kepada mereka yang sentiasa memperbaharui wuduknya. Hal ini kerana hadas adalah sesuatu yang diyakini dan suci yang berkemungkinan terjadi selepas hadas adalah syak. Oleh itu, sesuatu yang syak tidak dikira dan hukum asalnya adalah berhadas. Namun, jika mereka bukan orang yang sentiasa memperbaharui wudhu, maka dihukumkan padanya kini sebagai orang yang suci kerana secara zahirnya ia berwuduk (suci) selepas daripada berhadas.

Adapun sekiranya mereka tidak mengetahui sama ada dirinya berhadas atau berwudhu maka hukumnya adalah wajib ia berwudhu. Ini merupakan pandangan muktamad dalam mazhab al-Syafi’i dan juga pendapat sebahagian besar ulama.

Pandangan kedua; iaitu jika sebelumnya ia mengetahui dirinya dalam keadaan berhadas atau berwuduk , maka hukumnya adalah sebagaimana dirinya ketika itu tanpa perlu berpandukan kepada keadaan selepas itu. Namun jika dia tidak mengingati keadaan sebelumnya, maka hukumnya adalah wajib ia berwuduk .  Imam al-Nawawi menilai pandangan ini sebagai sesuatu pandangan yang salah dan mengelirukan.

Pandangan ketiga; iaitu ia perlu beramal mengikut sangkaannya yang lebih kuat. Jika sangkaannya sama kuat maka dia perlu mengambil hukum orang yang berhadas.

Pandangan keempat; iaitu ia tidak perlu melihat kepada keadaan dirinya sebelum itu bahkan wajib ke atasnya untuk mengambil wuduk semula dalam keadaan apa sekalipun sebagai langkah berhati-hati. Hal ini kerana suci dan hadas selepas terbit matahari adalah dua perkara yang berlawanan. Maka tidak boleh diutamakan salah satu daripada selainnya  dan apa yang diketahui sebelum matahari terbit adalah terbatal. Penentuan hukum dalam sesuatu perkara diambil kira pada perkara yang diyakini kesuciannya atau berdasarkan sangkaannya (zhan). Ini merupakan pendapat sebahagian ulama mazhab al-Syafi’i.

Berdasarkan penelitian kepada keempat-empat pandangan ini, kami cenderung untuk berpegang pada pandangan pertama yang merupakan pandangan muktamad dalam mazhab al-Syafi’i. Di samping, mengambil kira pandangan keempat sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan ibadat yang dilakukan adalah sah dan diterima.

Kesimpulan

Hukum bagi mereka yang syak sama ada berhadas sebelum atau selepas berwuduk adalah ia dihukumkan sebagai orang yang berwuduk (suci) jika sebelumnya dia dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana keadaan berwuduk tersebut adalah sesuatu yang diyakini manakala keadaan berhadas yang mungkin berlaku selepas wuduk adalah sesuatu yang syak. Namun, sebagai langkah berjaga-jaga disarankan agar berwuduk dalam apa jua hal untuk meninggalkan keraguan.

Wallahu A’lam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts