Hukum membahagikan harta warisan sebelum meninggal dunia

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan? Apakah hukum seseorang itu membahagikan harta warisannya terlebih dahulu sedangkan dia masih hidup? Terima kasih Datuk.

Ringkasan Jawapan

Hukum membahagikan harta warisan kepada ahli waris sewaktu masih hidup adalah harus atas akad hibah dan itu tidak dikira sebagai pusaka. Hal ini kerana, orang yang masih hidup tidak boleh mewariskan harta, seterusnya mestilah pembahagian harta tidak diniatkan untuk menganiaya sebahagian waris yang lain, sebaliknya ia sunat dibahagikan secara sama rata untuk anak-anak agar tidak timbulnya hasad dan perbalahan di samping pembahagian harta itu hendaklah berlangsung ketika masa sihatnya dan bukan pula ketika sakit yang membawa maut.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kebangkitan.

Pada dasarnya, pembahagian harta pusaka itu berlaku setelah sempurnanya rukun dan wujudnya sebab-sebab perwarisan harta pusaka. Sebagaimana maklum, rukun pusaka tertakluk kepada tiga perkara iaitu orang yang mewariskan (al-muwarrith), waris (al-warith) dan harta warisan (al-mauruth). Ketiga-tiga rukun ini pula wujud beberapa syarat yang mesti dipenuhi. Bertitik tolak daripada itu, perkara utama yang menjadi perbahasan dalam persoalan ini adalah merujuk kepada syarat yang berkait rapat dengan pewaris iaitu kematian pewaris sama ada secara hakiki atau taqdiri (anggaran) atau hukmi (ijtihad hakim).

Berdasarkan ini, dapat kita nyatakan bahawa orang yang hidup tidak boleh mewariskan hartanya oleh kerana hukum atau sistem faraid tidak boleh berlaku melainkan hanya selepas berlakunya kematian.

Pembahagian harta yang dilakukan sebelum kematian adalah tidak dianggap sebagai pembahagian pusaka. Hal ini kerana, sekiranya dirujuk semula kepada pentakrifan faraid ini iaitu apa yang ditinggalkan oleh si mati berupa pemilikan harta, hak dan sebagainya,yakni mestilah berlakunya pemindahan pemilikan harta si mati kepada ahli waris.

Adapun pembahagian harta yang dilakukan ketika masih hidup itu berlaku atas akad hibah dan bukannya atas nama perwarisan, dengan adanya ijab, kabul dan berlakunya pindah milik (qabadh) antara dua pihak (pewaris dan waris),di samping tidak pula diniatkan hibah sebagai jalan untuk menganiaya atau menafikan hak sebahagian waris yang lain, sebaliknya disunatkan untuk dibahagikan sama rata kepada anak-anak supaya tidak timbulnya perasaan hasad dan dengki serta perbalahan sesama mereka.[4] Begitu juga hibah tersebut hendaklah berlangsung ketika waktu sihatnya dan bukannya ketika sakit yang membawa maut atau nazak seumpamanya.

Wallahu A‘lam. – Muftiwp

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts