Amalan utama pada malam Nisfu Sya’ban

hqdefault

 

KITA sedang berada di dalam bulan Sya’ban dan hampir menemui satu malam yang dinamakan malam Nisfu  Sya’ban. Sudah tentu pada malam tersebut ada mempunyai keistimewaan tertentu kerana bulan Sya’ban sendiri sudah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Rasulullah SAW sendiri menyatakan bahawa catatan  amalan kita akan dipersembahkan kepada Allah di dalam bulan Sya’ban seperti yang terkandung di dalam hadith baginda SAW yang diceritakan oleh Usamah bin Zaid RA:

“Wahai Pesuruh Allah, saya tidak pernah melihat tuan berpuasa lebih banyak daripada tuan berpuasa di dalam bulan Sya’ban. Baginda SAW menjelaskan: Itulah bulan yang sering diabaikan oleh kebanyakan orang. Ia datang antara bulan Rejab dan Ramadhan. Bulan yang diangkat di dalamnya  segala amalan kepada Tuhan sekalian alam. Dan aku cukup suka jika amalan ku diangkat sedangkan aku sedang berpuasa.” [ HR An-Nasa’i ]

Sebagai bukti betapa baginda SAW sangat mengharapkan rekod dokumentasi catatan amalan baginda dipersembahkan kepada Allah dalam keadaan yang baik walaupun baginda SAW terpelihara daripada dosa dengan  memperbanyakkan berpuasa di dalam bulan Sya’ban sebagaimana baginda SAW berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Ini disebabkan laporan amalan dipersembahkan kepada Allah pada detik-detik itu.

Itulah kelebihan bulan Sya’ban secara umum. Namun pada malam menjelang 15 Sya’ban, Rasulullah SAW  menjelaskan bahawa pada malam itu ada keistimewaannya tersendiri. Maka masyarakat Melayu sangat menghargai dan tidak melepaskan peluang merebut peluang besarnya kelebihan pada malam itu dengan mengadakan beberapa ibadat tertentu seperti membaca Yasin di surau-surau dan masjid-masjid. Ada yang membacanya sebanyak tiga kali dan diakhiri dengan bacaan doa yang tertentu. Ada yang menyarankan solat-solat tertentu dan ada yang berpuasa pada keesokan harinya.

Sebenarnya tiada amalan khusus yang diwajibkan pada malam Nisfu Sya’ban. Adalah menjadi bid’ah jika kita mewajibkan ibadat-ibadat tertentu pada malam itu namun melakukan sebarang ketaatan  pada malam itu sebagai memenuhi malam yang sangat istimewa itu adalah tidak dilarang. Membaca Al-Quran dari mana-mana surah termasuk surah Yasin juga dikira sebagai satu ketaatan. Hendak membaca banyak kali pun tiada halangan tetapi  bukan bilangan yang dikejar, tetapi bacalah dengan memenuhi hak-hak bacaan yang sebenar dan lakukanlah dengan tertib, tadabbur dan ta’aqqul.

 

 

Baca sekali dengan tartil dan penuh penghayatan jauh lebih baik dari membacanya secara tergesa-gesa untuk mengejar bilangan. Selepas itu bacalah apa-apa doa yang kita hajati kepada Allah. Tidak terikat dengan doa yang biasa dibaca sebelum–sebelum ini. Namun kalau kita berhasrat membaca doa yang sedia ada pun tiadalah halangannya selama mana kita tidak menganggap ibadat-ibadat tadi adalah agenda wajib pada malam itu. Lakukanlah solat-solat sunat mutlak ataupun solat sunat yang disunnahkan oleh Nabi SAW pada bila-bila  masa seperti solat sunat tasbih dan sebagainya pada malam itu. Pada keesokkan harinya jika ada yang sudah melazimi dan memperbanyakkan berpuasa dari awal bulan Sya’ban bolehlah meneruskan puasa sunatnya.

Namun ada satu tawaran hebat dari Allah SWT pada malam itu. Iaitu tawaran pengampunanNya pada malam itu sangat lumayan namun terdapat dua golongan yang terkeluar dari tawaran berkenaan. Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadith yang diperakui oleh ulama sebagai hadith yang paling sahih berkaitan dengan kelebihan malam Nisfu Sya’ban:

“Allah akan muncul (rahmat dan pengampunannya) kepada seluruh makhlukNya pada malam Nisfu Sya’ban dan mengampunkan seluruh makhlukNya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang saling bermusuhan”
[ HR Al-Tabrani ]

Kelebihan khas pada malam itu ialah tawaran pengampunan terbuka luas. Ibadat yang paling utama pada malam itu ialah membersihkan diri, keluarga dan masyarakat dari gejala-gejala syirik dan semua perkara yang mengarah kepada kesyirikan. Alangkah baiknya pada malam itu masyarakat diingatkan bentuk-bentuk fahaman yang membawa kepada pegangan menidakkan kuasa mutlak Allah SWT seperti fahaman yang menfokuskan manusia dan kehendaknya agar dipenuhi, melihat hukum-hakam agama sebagai penghalang kepada kebebasan mutlak individu, fahaman meletakkan aqal melepasi nas-nas syarak, menghalalkan dan mengiktiraf hubungan terlarang dan sebagainya. Ini adalah contoh-contoh menidakkan kuasa mutlak Allah dan mengecilkan had kuasa agama pada ruang lingkup yang terhad dan selebihnya diserahkan hak kuasanya ditentukan oleh makhlukNya.

Ibadat yang paling utama pada malam itu ialah menamatkan permusuhan sesama saudara-saudara Islamnya. Jangan kita tersilap, hadir ke masjid beramai-ramai, membaca surah Yasin sampai tiga kali, berdoa selepas itu memohon keampunan namun masih menyimpan permusuhan sesama sendiri yang akan menghalang pengampunan Allah SWT. Dalam isu kelebihan malam berkenaan, Allah meletakkan sebaris orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan sebagai golongan yang terkeluar dari tawaran pengampunan Allah SWT.

Alangkah indahnya pada malam itu umat Islam saling memaafkan di antara satu sama lain. Jika ini akan berlaku nasib umat Islam nescaya akan berubah, Ramadhan yang bakal menjelang akan dinikmati keberkesanannya dan satu Syawal akan dihadiahkan kepada umat ini kemenangan yang hakiki.

Sahibus Samahah Dato’ Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
3 comments
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts