Amalkan doa memohon petunjuk

  1. Pada hari jumaat, kita selalu membaca Surah al-Kahfi. Salah satu perkara menarik yang diajarkan oleh Allah dalam al-Quran melalui kisah pemuda kahfi adalah Allah merekodkan doa mereka yang memohon petunjuk. Dalam doa ini, mereka menggabungkan dua elemen penting iaitu memohon rahmat dan (al-rusyd) iaitu petunjuk dari Allah. Firman Allah:

إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُواْ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan pemuda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, Dan persiapkan (permudahkan) urusan kami dengan PETUNJUK.” (Surah al-Kahfi: 10)

  1. Perhatikan perkataan “RASYADA” di sini yang membawa maksud hidayah atau petunjuk. Pemuda Kahfi yang lari menyelamatkan diri mereka ini memohon agar Allah memberikan petunjuk dalam setiap urusan kehidupan mereka.
  2. Menariknya dalam surah al-kahfi ini juga, lafaz yang sama (iaitu perkataan al-rusyd ini) turut diungkapkan oleh Nabi Musa yang memohon dari Nabi Khadir agar mendidiknya supaya dia boleh mendapat petunjuk. Kata Nabi Musa:

قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

“Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi PETUNJUK bagiku?” (Surah al-Kahfi: 66)

  1. Bukan sahaja para Nabi, golongan Jin juga mengungkapkan perkataan ini apabila mereka menggambarkan bahawa al-Quran memberikan petunjuk kepada manusia. Kata golongan Jin:

قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar Al-Quran yang menakjubkan! Kitab yang memberi panduan (PETUNJUK) ke jalan yang betul. (Surah al-Jin: 1-2)

  1. Malah Allah turut menyifatkan Nabi Ibrahim sebagai seorang yang diberikan petunjuk dengan menggunakan perkataan yang sama iaitu perkataan al-Rusyd (rasyada – rusydahu). Firman Allah:

وَلَقَدْ آتَيْنَا إِبْرَاهِيمَ رُشْدَهُ مِن قَبْلُ وَكُنَّا بِهِ عَالِمِينَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim PETUNJUK (sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid) dan Kami adalah mengetahui akan halnya. (Surah al-Anbiya: 51)

  1. Oleh itu, amalkanlah doa yang dilafazkan oleh Pemuda Kahfi ini. Allah telah menceritakan kepada kita bagaimana Nabi Musa turut menuntut perkara yang sama menggunakan perkataan yang sama, Nabi Ibrahim disifatkan sebagai lelaki yang mempunyai petunjuk (melalui perkataan ini juga). Bahkan golongan jin turut menyifatkan al-Quran sebagai Kitab yang memiliki petunjuk melalui perkataan ini juga.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts