Ambil semangat Rasulullah SAW jaga keharmonian, keamanan negara

Putrajaya: Pemilihan tema ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ untuk sambutan Maulidur Rasul, tahun ini disifatkan bertepatan dengan semangat masyarakat Malaysia yang terus menjaga keharmonian negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ini kerana kita semua adalah sebuah keluarga yang tinggal di bawah satu rumah dan saling bergantungan.

“Justeru marilah kita mengambil semangat sempena Sambutan Maulidur Rasul tahun ini untuk terus tekad menjaga keharmonian dan keamanan sejagat di negara ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Idris berkata, Rasulullah SAW adalah ikutan yang terbaik kepada semua umat manusia dari segenap aspek kehidupan baginda.

“Kelahirannya membawa rahmat kepada sekalian makhluk di seluruh alam dan ia adalah utusan terakhir dalam menyebar syiar Islam.

“Baginda juga adalah ikon penyatuan ummah, hal ini boleh dilihat melalui sirah baginda nabi di bumi Madinah yang berjaya menyatukan Aus dan Khazraj melalui Piagam Madinah,” katanya.

Dalam pada itu, sambutan Maulidur Rasul tahun ini diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan menampilkan kelainan dalam persembahannya apabila menggabungkan elemen teknologi dan pemaparan grafik.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, persembahan khas diadakan mengambil semangat kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat berdasarkan peristiwa dari sirah kehidupan Rasulullah.

Menurutnya, persembahan itu menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan yang bersatu atas nama Islam. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts