Antara Maqasid Syariah yang benar dan yang palsu: Mufti Terengganu

 

DEWASA ini, banyak pihak dari pelbagai latar belakang menyentuh hal-hal yang berkait dengan Maqasid Syariah. Yang menjadi kebimbangannya ialah adakah perbincangan tersebut benar-benar dirujuk kepada sumber yang sebenar atau hanya tafsiran sendiri.

Amat malang sekali kalau perbincangan tersebut dilakukan tanpa rujukan yang benar. Ini kerana ditakuti Maqasid Syariah yang dibincangkan itu bukan yang sebenar tapi yang palsu. Sudah tentu yang palsu ini menyesatkan. Kemuncaknya ialah mereka ambil MAQASID sahaja tanpa SYARIAH.

Bahaya Maqasid Syariah palsu antara lain ialah ia menjadi senjata penting kepada golongan liberal untuk meliberalkan pemikiran umat Islam. Juga ia akan menyamakan antara agama Islam dengan agama-agama lain yang doktrinnya juga adalah untuk menjaga kehormatan dan hak-hak manusia.

Bagi orang awam, saya ingin sebutkan beberapa ciri umum yang membezakan antara Maqasid Syariah yang betul dan yang palsu:

1. Maqasid Syariah yang benar ialah ia tidak meminggirkan hukum-hakam syariah. Sementara Maqasid Syariah yang palsu dalam banyak hal meminggirkan hukum syariah.

2. Maqasid Syariah yang benar akan mendahulukan nas-nas syarak daripada akal. Maqasid syariah yang palsu akan mendahulukan akal melebihi nas-nas syarak.

3. Maqasid Syariah yang benar akan membawa umat Islam berpegang kepada hukum Allah sebagai satu sistem bahkan turut melaksanakannya. Sementara Maqasid Syariah yang palsu hanya akan menekankan nilai-nilai yang ada dalam agama sahaja, bukan keterikatannya dengan hukum syariah. Maqasid Syariah yang palsu akan membawa umat Islam kepada pemikiran sekular atau konsep “pegang nilai, hukum tidak penting” atau konsep “semua perkara boleh belaka”.

4. Pendokong Maqasid Syariah yang benar akan merujuk kepada kaedah Usul Fiqh dan Qawaid Syariah serta yang berkaitan dengan kedua-duanya. Sementara pendokong Maqasid Syariah yang palsu tidak mempedulikan Usul Fiqh dan Qawaid Fiqhiyyah, bahkan tidak ada pengetahuan mengenainya.

5. Pendokong Maqasid Syariah yang benar menghormati pandangan para ulama Islam silam dan kontemporari. Pendokong Maqasid Syariah yang palsu tidak menghormati pandangan ulama Islam silam. Mereka kadang-kadang mengambil pandangan ulama kontemporari yang terpencil dan yang bercanggah dengan pandangan yang muktabar. Ini demi untuk mengiyakan pandangan mereka.

6. Maqasid Syariah yang benar mempunyai pakej perundangan yang lengkap-melengkapi. Berdasarkan keterangan Syeikh Zaidan, ia berkait dengan ibadat, muamalat dan perundangan Islam secara amnya.

Umat Islam dinasihatkan berhati-hati dengan Maqasid Syariah yang palsu. Semoga kita semua dalam hidayahNya.

Akhukum Fillah,

Sahibus Samahah Dato’ Dr. Zulkifly bin Muda
Mufti Terengganu

Sumber: FB Mufti Terengganu

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts