BAGAN SERAI: Umat Islam di negara ini tidak perlu bertangguh lagi untuk mendapatkan suntikan vaksin susulan pengumuman kerajaan Arab Saudi mengiktiraf Sinovac sebagai syarat kemasukan ke negara itu.

Ini kerana Sinovac adalah antara vaksin yang diberikan kepada rakyat Malaysia, selain Pfizer BioNTech dan AstraZeneca.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pengumuman kerajaan Arab Saudi itu telah memberi ruang yang lebih besar kepada mereka yang mengambil vaksin, tidak terbatas kepada Pfizer dan AstraZeneca.

“Dengan kenyataan yang dikemukakan oleh kerajaan Arab Saudi, saya berasakan bahawa tidak ada lagi masalah untuk kita mengambil Sinovac bagi menyekat alasan untuk ke Mekah kerana Sinovac juga telah diizinkan (untuk pergi ke Mekah).

“Untuk makluman kepada rakyat Malaysia, ketika saya pergi ke Mekah pada baru-baru ini pada bulan Ramadan, jelas menunjukkan mereka mengambil prihatin yang amat mendalam sehingga mereka menggunakan aplikasi.

Kalau tempat kita dinamakan MySejahtera, di sana ada Tawakkalna dan Ektamarna untuk menunjukkan bahawa mereka (individu) sudah divaksin atau tidak.

“Alangkah baiknya jika sekiranya kita juga dapat menjadikan diri kita sebahagian daripada golongan yang divaksinasi, insya-Allah,” ujar beliau.

Beliau ditemui selepas menyampaikam sumbangan Muassadah 3.0 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Bagan Serai, Perak pada Selasa.

Sebelum ini, Arab Saudi hanya menerima empat vaksin COVID-19 iaitu keluaran Pfizer BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna.

Ia sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam, khususnya mereka yang telah menerima suntikan vaksin Sinovac.

Sambil merakamkan penghargaan dengan pengumuman itu, Zulkifli berharap umat Islam yang bakal mengerjakan umrah tahun ini agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Menurutnya, kerajaan Malaysia akan memantau perkembangan terkini di negara itu, khususnya selepas musim haji tahun ini dan akan mengemaskini maklumat terkini dari semasa ke semasa. -Astro Awani

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)