Arab Saudi tingkat usaha kekang COVID-19

 

RIYADH: Pihak berkuasa di Arab Saudi mempertingkat usaha bagi memastikan pematuhan terhadap langkah kesihatan ditetapkan, susulan lonjakan angka harian jangkitan COVID-19 di negara ini.

Menurut laporan Arab News, Kementerian Kesihatan mengumumkan negara ini mencatat sebanyak 970 kes baharu COVID-19 yang menyaksikan wilayah Riyadh mendahului dengan 438 jangkitan, semalam.

Makkah menyusul dengan 227 kes baharu, Wilayah Timur (131) dan Madinah (37), manakala wilayah melaporkan angka jangkitan baharu terendah ialah Najran (lapan), Al-Jouf (empat) dan Al-Baha (tiga).

Jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di Arab Saudi kini mencecah 405,940 kes.

Seramai 896 lagi pesakit wabak itu dilaporkan sembuh, sekali gus membawa kepada jumlah kumulatif 389,598, setakat ini.

Kementerian itu juga melaporkan 11 kematian baharu akibat COVID-19.

Ketika ini, Arab Saudi mencatat 9,508 kes aktif dengan 1,087 berada dalam keadaan kritikal.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr Mohammad Al-Abd Al-Aly, berkata lebih separuh daripada kes berkenaan membabitkan individu berumur 60 tahun ke atas.

Setiap hari, seramai 124,661 penduduk Arab Saudi menerima suntikan pelalian, yang mana sebanyak 7,280,904 vaksin telah diberikan hingga kini.

Semalam, Kementerian Hal Ehwal Islam memaklumkan sepanjang tempoh 11 minggu lalu, pasukan khasnya telah melakukan lebih 230,000 pemeriksaan di masjid untuk memastikan langkah mengekang jangkitan COVID-19 dipatuhi.

Menurutnya, sebanyak 143 kes ketidakpatuhan dikesan dan tindakan sewajarnya diambil untuk menangani isu berkenaan, termasuk menghukum mereka yang ingkar.

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) Taif pula dilapor mengadakan lebih 2,600 pemeriksaan di tempat komersial ketika Ramadan.

Pasukan lapangan PBT itu menyasarkan lokasi yang dijangka sibuk dengan aktiviti ketika Ramadan seperti restoran dan kedai bakeri, bufet serta manisan Arab.

Selain itu, pasukan lapangan di Jeddah juga giat mengesan kes ketidakpatuhan yang menyaksikan 36 lokasi telah ditutup kerana gagal mematuhi garis panduan mengekang penularan COVID-19. – AGENSI

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts