Awasi penularan animasi ‘skubidi toilet’, ini peranan ibu bapa didik anak kembali ke cara Islam

Kebelakangani, masyarakat Malaysia digemparkan dengan sebuah rancangan animasi barat yang dikatakan tidak sesuai ditonton kanak-kanak.

Ia susulan tindak balas negatif terhadap si kecil yang jelas kelihatan selepas mereka menonton rancangan berkenaan yang dipercayai padat dengan elemen keganasan dan tidak masuk akal.

Terbaharu, tular satu animasi di YouTube bertajuk ‘Skibidi Toilet‘ yang dikatakan telah memberikan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak dan beberapa video di TikTok turut memaparkan perbuatan pelik golongan berkenaan selepas menonton rancangan tersebut.

Dengan pelbagai tarikan buruk di luar sana, sebagai ibu bapa kita mestilah berhati-hati. Sedikit sahaja kelekaan kita dalam didikan anak-anak pasti akan memberi kesan buruk pada pembentukan peribadi yang akan kekal selamanya.

Melihat kepada risiko ini dan tanggungjawab yang berat sebagai ibu ayah, tiada lagi jalan lain melainkan kembali kepada cara yang diajarkan oleh Islam dalam mendidik anak-anak kita.

Berkaitan perkara ini, Ahli Isma Australia, Dr Shaiful Aizad kongsikan cara yang diajarkan oleh Islam dalam mendidik anak-anak yang sesuai diadaptasikan pada zaman ini, terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berusia 2 sehingga 18 tahun.

Ujarnya, peranan ibu bapa adalah paling penting dalam menentukan peribadi dan hala tuju hidup anak-anak. Kita semua nak jadikan anak-anak kita soleh dan solehah, sebab hanya dengan doa mereka sahaja sebagai bekalan di alam kubur kelak.

“Sebelum kita menjadikan anak-anak kita seorang doktor, jurutera, akauntan atau ahli perniagaan, terlebih dahulu kita kena jadikan mereka sebagai anak yang soleh dan solehah, kerana ini sahaja jaminan saham kita akan berterusan hingga ke alam kubur kelak.

“Ramai kata yang dia “tak mampu nak didik agama kepada anak-anak sendiri”.

“Tidak mengapa untuk menghantar anak-anak ke kelas agama, akan tetapi menjadi kewajipan lebih besar kepada diri ibu dan bapa tersebut untuk dia sendiri timba belajar ilmu agama sewajarnya daripada kelas-kelas agama, menghadiri sesi-sesi bersama ustaz atau ustazah atau daripada pembacaan buku-buku agama.

“Bahkan, guru yang terbaik bagi anak-anak kita, ialah diri kita sendiri. Jika ibu dan bapa sendiri tidak bersedia, maka wajib bagi ibu dan ayah itu untuk pergi belajar dan kuasai ilmu agama sebaiknya, untuk diajarkan kepada anak-anaknya di rumah. Dengan itu barulah lepas tanggungjawabnya keatas anak-anaknya,” katanya.

Jaga persekitaran di rumah

Tambahnya lagi, selain ilmu agama, persekitaran juga memainkan peranan dalam pendidikan anak-anak. Di mana lagi tempat yang mereka banyak meluangkan masa kalau bukan rumah sendiri.

“Jadi berhati-hatilah dengan apa yang kita “benar”kan dirumah. Kita pastinya tidak mahu sia-siakan usaha kita dalam mendidik mereka untuk menjadi anak yang soleh dan solehah, akhirnya di “musnah”kan oleh siaran-siaran di TV atau di internet sebagainya

“Contohnya, bagaimana kita nak ajarkan kepada anak lelaki kita “menundukkan pandangan terhadap wanita” sekiranya di kaca TV rumah kita terdedah wanita-wanita tidak menutup aurat, malah lebih terus, wanita-wanita seksi yang terdedah sana sini?

“Bagaimana kita nak didik anak-anak perempuan kita supaya menutup aurat berhijab, sekiranya dia didedahkan oleh rancangan-rancangan yang dilakonkan oleh wanita-wanita tidak bertudung memakai baju-baju ketat?

“Akhir sekali, berdoa dan letakkan sepenuh kepercayaan kepada ALLAH kerana anak-anak adalah amanah untuk diri kita, dan hakikatnya jua mereka sebenarnya adalah milik ALLAH sepenuhnya.

“Sebab itulah hadis mengatakan “Setiap anak yang lahir adalah di dalam fitrah. Ibu bapa lah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Baihaqi, Thabarani),” katanya sebgaimana dipetik di laman Isma.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts