Belum ‘dharurah’ kebumi jenazah korban Covid-19 dalam satu liang lahad

 

Kuala Lumpur: Kematian umat Islam akibat Covid-19 belum mencapai tahap ‘dharurah’ (darurat) yang memerlukan jenazah dikuburkan secara beramai-ramai dalam satu liang lahad.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam mengunjurkan untuk satu liang lahad hanya menempatkan satu jenazah kecuali apabila berlakunya dharurah seperti tragedi tsunami pada 2004 yang mengorbankan ratusan ribu nyawa serentak.

Beliau berkata, jika keadaan dharurah yang menyebabkan suasana tidak terkawal termasuk dalam hal pengebumian, maka dibolehkan lebih ramai jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad.

Katanya, ketika tragedi tsunami berlaku 17 tahun lalu, keadaan di negara jiran, Indonesia sudah tidak terkawal dan jenazah tidak dapat dikenali justeru pengurusannya tidak dapat dilakukan mengikut prosedur biasa.

“Dalam keadaan dharurah atau terdesak, dibolehkan mengebumikan lebih dari satu jenazah dalam liang lahad yang sama dan kalau boleh juga, dibuat hadangan terutamanya antara jenazah wanita dan lelaki.

“Hukum dharurah atau terdesak (dalam proses pengebumian) berbeza dengan hukum biasa malah sekarang mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19, masih boleh dikenali,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya keperluan jenazah umat Islam diuruskan melalui pengebumian secara beramai-ramai dalam satu liang lahad berbanding secara berasingan pada masa ini berikutan peningkatan kes kematian akibat Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Wan Salim berkata, sebelum sampai ke peringkat pengebumian beramai-ramai dalam satu liang lahad, perlu diutamakan pengebumian satu kubur bagi satu jenazah saja.

“Dalam suasana di negara ini pada masa ini, kita belum sampai ke peringkat dharurah lagi,” katanya.

Semalam, sebanyak 184 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan di negara ini dengan 157 daripadanya membabitkan warga tempatan.

Pada 21 Julai lalu, negara mencatatkan kes kematian akibat Covid-19 yang tertinggi dengan 199 kes.

Dalam masa sama, Wan Salim juga mencadangkan penggunaan kubur bertingkat bagi mengatasi kekurangan tanah perkuburan umat Islam yang mungkin berlaku disebabkan peningkatan jumlah kes kematian Covid-19.

Beliau berkata, kaedah itu yang sudah dilaksanakan di beberapa kariah di Pulau Pinang sejak beberapa tahun lalu turut sesuai digunakan di bandar besar yang berdepan kekurangan tanah perkuburan.

Menerusi kaedah itu, katanya, perkuburan lama akan ditimbus dengan tanah sedalam tiga hingga empat kaki dan kemudian digunakan bagi mengebumikan jenazah baharu.

“Jabatan Mufti Pulau Pinang turut menerima banyak pertanyaan mengenai pelaksanaan kubur bertingkat dan kami perlu meneliti terlebih dahulu sejauh mana keperluan sesuatu kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman turut menyifatkan masih belum ada keperluan untuk pengebumian jenazah umat Islam di negara ini yang meninggal dunia akibat Covid-19, dibuat secara beramai-ramai dalam satu liang lahad.

Menurutnya, kelonggaran untuk mengebumikan beberapa jenazah dalam satu liang lahad memang ada dalam Islam tetapi hanya boleh dilakukan dalam keadaan terdesak sahaja bertujuan memudahkan pengurusan jenazah ketika ia tidak boleh diuruskan satu persatu.

Katanya, jika tidak mampu diuruskan, maka proses ini dipermudahkan dan tiada halangan untuk dikebumikan beramai-ramai dalam satu liang lahad tetapi keutamaannya ialah satu liang lahad untuk satu jenazah.

“Tambahan lagi, kematian akibat Covid-19 tidak menentu serta tidak semestinya berlaku dalam kawasan yang sama.

“Ini berbeza jika dibandingkan dengan sesetengah kes kematian akibat kemalangan.

“Biasanya jenazah membabitkan sesebuah keluarga, dikebumikan secara beramai-ramai dalam satu liang lahad bagi memudahkan pengurusan jenazah,” katanya. -MyMetro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts