Berdosa pulang ke kampung jika datangkan mudarat

 

KUALA LUMPUR: Perbuatan orang ramai yang pulang ke kampung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan boleh menjadi haram dari segi agama jika mendatangkan mudarat kepada ahli keluarga dan masyarakat.

Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata perbuatan itu boleh jatuh haram kerana ia jelas bertentangan dengan arahan daripada kerajaan dan pihak berkuasa yang menuntut orang ramai supaya berada di rumah sepanjang tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, katanya orang awam diminta untuk lebih berhati-hati dalam melaksanakan segala tindakan mereka termasuk mengawal pergerakan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

“Sila patuh arahan kerajaan dan polis kerana kita diwajibkan berada di tempat kita hari ini dan jangan gunakan masa untuk bercuti kerana kita dilarang berada dalam kawasan terdedah dengan wabak.

“Sehubungan itu, apa yang dilakukan orang awam seperti pulang ke kampung itu boleh memudaratkan orang lain dan ia boleh menjadi haram sebab kita tak tahu apabila kita dijangkiti dan menyebarkan kepada orang lain di kampung.

“Sebelum ini pun, mufti tidak mewajibkan solat Jumaat kerana khuatir ia mendatangkan mudarat kepada orang lain, konsepnya sama sahaja jika kita pulang ke kampung kerana ia turut membuka ruang ke arah itu, ” katanya ketika dihubungi BH, di sini, semalam.

 

Gambar hiasan - Keadaan trafik di lebuh raya utama negara semalam apabila orang ramai dikatakan mengambil kesempatan Perintah Kawalan Pergerakan untuk balik kampung. - Foto Ihsan LLM

 

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Bagaimanapun, orang awam khususnya di bandar raya ini mengambil kesempatan pelaksanaan perintah kawalan itu dengan pulang ke kampung sejak malam kelmarin sehingga menyebabkan kesesakan di lebuh raya.

Malah, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut merayu orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Pada masa sama, Mohd Izhar berkata, pekerja yang diminta untuk bertugas dari rumah juga dinasihati supaya menjaga amanah itu dengan sebaiknya termasuk menyelesaikan tanggungjawab seperti hari biasa bekerja.

 

 

Katanya, di luar waktu bekerja pula, tempoh masa berada di rumah boleh dilakukan sebaiknya untuk beribadat dan kembali bermunajat kepada Allah bagi memohon perlindunganNya.

“Kita kena faham segala yang berlaku ini ada hikmahnya dan paling penting untuk sentiasa berfikiran positif kerana sebagai umat Islam ada beberapa perkara yang boleh diambil perhatian seperti mendekatkan diri kepada Allah.

“Kita tidak nafikan, sebagai seorang yang sentiasa sibuk dengan urusan pekerjaan, kena duduk di rumah untuk tempoh panjang adalah sesuatu yang sukar namun kita harus melihat perkara itu dari aspek positif dan hasilnya juga akan positif nanti, ” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts