Mimpi benar hanya untuk para nabi & rasul

Setiap manusia pasti pernah mengalami mimpi. Ada ketika mimpi berupaya menyenangkan, menakutkan, membosankan, atau benar-benar aneh.

Setiap malam, manusia dikatakan boleh bermimpi daripada satu hingga enam mimpi yang pelbagai. Satu konsep yang diterima secara umum adalah bermimpi adalah satu proses yang sangat emosional dari pusat emosi di dalam otak yang aktif selama tidur.

Jika kita pernah terbangun daripada mimpi yang sangat meresahkan atau aneh, mungkin kita akan tertanya-tanya, mengapa kita boleh bermimpikan hal-hal sebegitu. Sudah banyak tafsir mimpi yang berusaha menjelaskan makna yang tersurat dan tersirat di sebalik mimpi.

Meskipun begitu, tafsir mimpi dalam Islam sudah menjadi penguak rahsia sejak zaman nabi. Tidak jarang para nabi menerima petunjuk daripada Allah SWT melalui mimpi. Namun begitu jangan sampai mimpi membuat kita menjadi percaya kepada perkara-perkara tahayul sebab ada juga mimpi yang berasal daripada syaitan dan jin.

Justeru, hanya mimpi para nabi dan rasul sahaja adalah mimpi benar yang boleh dijadikan sebagai sumber hukum dan hujah syarak, manakala orang biasa seperti kita, pasti tidak mampu untuk melepaskan diri daripada hasutan syaitan yang boleh menggugat kesahihan takwilan mimpi. Tafsir mimpi yang dapat dijadikan sandaran atau petunjuk ialah yang betul-betul berasal daripada petunjuk Allah SWT.

Allah berfirman maksudnya: “Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.” (Surah Yunus ayat 64)

Ibnu Jarir al-Tabari menjelaskan makna ‘berita gembira’ dalam ayat di atas ialah mimpi baik yang dialami oleh seorang Muslim yang kemudian dijelaskan pula oleh Rasulullah SAW yang bersabda maksudnya: “Yang dimaksudkan dengan kegembiraan dalam ayat di atas adalah mimpi yang baik yang terlihat oleh seorang Muslim atau yang diperlihatkan padanya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, Abdullah bin Zaid dan Umar bin Khattab pernah bermimpi. Mimpi mereka akhirnya dijadikan sebagai hujah sandaran yang kukuh kepada pensyariatan azan. Rasulullah SAW menjadikan dasar penetapannya daripada sebuah mimpi. Ini menjadi salah satu contoh tafsir mimpi petunjuk daripada Allah SWT.

Menjadi sebuah keistimewaan jika memiliki kemampuan menafsirkan mimpi. Hal ini dibuktikan dengan kelebihan yang diperoleh Nabi Yusuf AS sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: Sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Yusuf, ayat 6)

Dalam Islam, terdapat beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seseorang Muslim. Ia dijelaskan dalam sebuah hadis sahih daripada ‘Auf bin Malik RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam, mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Pengajaran daripada hadis di atas menjelaskan bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

1. Mimpi daripada gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan.

2. Mimpi yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga, lalu terbawa-bawa sehingga masuk ke dalam mimpi.

3. Mimpi yang diilhamkan oleh Allah dan merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya mimpi itu mempunyai tiga jenis. Mimpi yang baik itu merupakan berita gembira yang datang daripada Allah SWT. Mimpi yang buruk dan membawa kesedihan itu adalah daripada syaitan. Dan mimpi yang disebabkan oleh apa yang berlaku ke atas seseorang itu. Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bahkan Rasulullah SAW juga mengajar kita tatacara sekiranya didatangi mimpi yang buruk. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Mimpi yang baik itu adalah daripada Allah SWT, adapun mimpi yang buruk itu daripada syaitan. Jika sekiranya seseorang itu bermimpi satu mimpi yang ditakutinya hendaklah dia meludah ke belah kirinya dan hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada kejahatannya, nescaya dia tidak akan memudaratkannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Selanjutnya, adalah menjadi kewajipan Muslim supaya tidak meyakini dan beriktikad setiap mimpi itu adalah benar seratus peratus kerana seluruh makhluk yang bernama ‘hamba’ itu sentiasa di bawah penguasaan Allah tidak kira di mana sahaja mereka berada. Mimpi hanya boleh ditakwilkan oleh segolongan yang dikurniakan Allah SWT untuk mengetahui akan rahsianya.

Dalam hal ini, Ibnu Sirin ada menyebutkan di dalam kitab tafsir mimpinya: “Oleh sebab itu, tidak semua orang mampu untuk mendalami ilmu takwil (merungkai) mimpi ini. Hanya orang yang mampu untuk melakukan perkara tersebut ialah sesiapa yang diberikan hikmah dan penglihatan yang halus oleh Allah SWT bagi mengistinbath (menghasilkan) simbol-simbol dan mengaitkannya dengan realiti berdasarkan ilmunya terhadap al-Quran, sunah Rasulullah SAW serta kemampuannya untuk melakukan qiyas dan tasybih.”

Oleh yang demikian, mempelajari ilmu tafsir mimpi, tidaklah dilarang dalam Islam. Bahkan bagi sebahagian ulama, ilmu tafsir mimpi ini dimasukkan dalam kategori ilmu syariat.

Sebaiknya dalam mempelajari ilmu tafsir mimpi, terlebih dahulu menguasai ilmu-ilmu syariat yang bersifat fardu ain seperti ilmu tauhid, ilmu fiqah dan ilmu syariat lainnya.

Hal ini supaya Muslim memiliki landasan ilmu agama kukuh dan tidak mudah tertipu perkara ghaib yang ternyata adalah bisikan syaitan semata-mata. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
12
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts