Berdosa sebar aib ibu bapa kepada umum – Mufti Kedah

ALOR SETAR: Islam melarang sekeras-kerasnya tindakan individu untuk menyebar keaiban ibu bapa masing-masing kepada umum sehingga menjatuhkan maruah kedua-duanya.

Menurut Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, sudah menjadi tanggungjawab bagi setiap anak untuk sentiasa menjaga maruah ibu bapa dalam apa juga keadaan.

Katanya, norma kehidupan dalam institusi kekeluargaan Islam termasuk menjaga kehormatan ibu bapa adalah satu kewajipan yang mesti dipelihara oleh mereka yang bergelar anak walaupun ketika berdepan perkara yang terburuk dalam kehidupan.

“Apa yang perlu kita sebagai keluarga Islam sangat menitikberatkan tentang anak untuk menghormati dan memuliakan kedua-dua ibu bapa masing-masing dalam apa juga hal termasuk hal yang berkaitan maruah.

“Tak sepatutnya mendedahkan kepada umum apa yang berlaku. Sebenarnya isu ini boleh diatasi tanpa mendedahkan perkara itu kepada umum sebab ini akan mencalarkan imej dan maruah ibu bapa. Melakukan perkara dilarang (Islam) adalah berdosa,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bersama Syarikat Korporat di Menara Zakat di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Zakat Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan seorang pelakon remaja yang mendedahkan gangguan seksual dipercayai dilakukan oleh bapa kandungnya sendiri dalam satu temubual di YouTube baru-baru ini.

Mengulas lanjut kata Syeikh Fadzil, sebagai orang Islam, individu yang terlibat harus menggunakan saluran betul dalam menyelesaikan isu berkenaan bukan menyebarkan perkara itu kepada umum melalui media sosial.

“Bila mana melakukan sesuatu yang mengguris hati kecil ibu bapa ia adalah salah. Kita harap masyarakat di sana melihat kepentingan perkara ini.

“Dalam mendedahkan isu, jagalah kehormatan ibu bapa masing-masing iaitu ibu yang melahirkan dan bapa yang membesarkan kita walau apa yang dilakukan oleh ibu bapa itu,” ujarnya.-UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts