Besarnya jihad ibu hamil

Tiada yang lebih indah bagi seorang wanita selain dapat melahirkan zuriatnya sendiri selepas dijabkabulkan. Bagi mereka, itulah anugerah paling hebat daripada ALLAH SWT melebihi daripada kemewahan lain di dunia ini.

Pun demikian, tidak semua wanita ditakdirkan untuk hamil dan memiliki cahaya mata untuk dibelai di dunia ini. Namun, janganlah bersedih hati kerana ALLAH YANG MAHA ESA menjanjikan kehidupan yang lebih indah di alam abadi nanti.

Kepada yang diberi rezeki untuk mengandung, berita itulah yang sangat ditunggu-tunggu. Kehadiran zuriat bukan sahaja sebagai pengikat kasih sayang, malah penyambung kepada legasi keluarga.

Sebenarnya, sebelum melahirkan zuriat yang dikandung selama sembilan bulan lamanya, banyak liku dan cabaran yang perlu direntas oleh kaum Hawa.

Segelintir daripada mereka mengalami kesakitan dan keperitan sehingga hilang selera makan. Lebih teruk, terdapat wanita yang terpaksa terlantar di atas katil berbulan-bulan lamanya disebabkan komplikasi kesihatan sampingan. Itu belum dikira hamil pada saat virus Covid-19 yang sememangnya menuntut kaum ibu lebih berhati-hati.

Apabila tiba saat bersalin, lain pula ceritanya. Mereka yang bernasib baik, berpeluang melahirkan anak secara normal. Jika tidak, ia dilakukan secara pembedahan. Lebih meruntun perasaan, ada yang kehilangan nyawa tatkala melahirkan bayi.

Dalam Islam, kematian seumpama itu dikategorikan sebagai mati syahid. Begitu juga dengan ibu hamil yang gugur ketika bertarung nyawa melawan Covid-19. Sesungguhnya, wanita hamil begitu dipandang tinggi dalam agama. Dalam hal itu, apa indicator-indikator yang menentukan mereka mati syahid?

Kemuliaan

Membuka tirai bicara, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah menjelaskan justifikasi kemuliaan yang diberikan kepada wanita hamil.

Ujarnya, Islam begitu menyanjungi golongan tersebut lantaran perjuangan mereka yang mengandung, melahir, membesarkan dan mendidik umat Nabi Muhammad SAW menjadi permata ummah pada masa hadapan, dengan izin-NYA.

Bukan itu sahaja, ujar beliau, pengorbanan seorang ibu hamil tidak ternilai kerana ia juga diibaratkan seperti perjuangan antara hidup dan mati.

”Begitu juga kesusahan dalam tempoh berpantang, pengorbanan menyusukan anak dan sebagainya. Semua cabaran dan kesukaran ibu mengandung itu ada digambarkan dalam al-Quran menerusi ayat 14, Surah Luqman.

”Dalam kitabullah tersebut, terdapat istilah wahnan ‘ala wahnin (kesusahan atas kesusahan) selama mengandung dan melahirkan anaknya. Ya, seorang ibu mungkin hilang selera makan, berdepan dengan pelbagai risiko penyakit, lemah badan dan pelbagai lagi ranjau sepanjang proses kehamilan,” katanya kepada Sinar Islam Plus ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Meskipun tiada nas khusus memerihalkan tentang ganjaran pahala kepada kaum Hawa yang mengandung, Sharifah Fadylawaty menjelaskan, terdapat banyak lagi hadis lain yang boleh dikaitkan dengannya.

Antaranya, hadis yang menjelaskan bahawa ALLAH SWT akan mengurniakan imbalan yang bukan calang-calang kepada hamba-hamba-NYA yang bersabar di atas setiap ujian, kesulitan dan takdir ditetapkan-NYA, ungkapnya.

”Ia termasuklah untuk seorang ibu hamil sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahawa mereka menanggung banyak dugaan, keperitan dan kepayahan. Andai mereka bersabar, sudah semestinya ALLAH SWT tidak akan mensia-siakan amalan dan pengorbanan masing-masing,” katanya.

ALLAH SWT berfirman: ”Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira.” (Surah al-Zumar, ayat 10)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: ”ALLAH SWT berfirman, Apabila AKU timpakan ujian (dengan musibah, sakit dan lain-lain kesusahan) ke atas salah seorang daripada hambahamba-KU yang beriman dan dia memuji DAKU (kerana reda) maka (AKU akan memerintahkan para malaikat), ‘tulislah segala ganjaran amalannya yang baik sebagaimana yang biasa kamu tulis semasa dia sihat’.” (Riwayat Ahmad dan at-Tabarani)

Kedatangan orang baharu dalam keluarga begitu dinanti-nanti bagi setiap pasangan yang sudah berkahwin.

ALLAH tinggikan darjat

Benarkah ALLAH SWT akan mencatatkan pahala bagi wanita yang mula sakit bersalin seumpama orang yang berjihad pada jalan-NYA?

Menjawab persoalan itu, Sharifah Fadylawaty menjelaskan, terdapat beberapa pernyataan berkaitan hadis palsu yang sering berlegar-legar dalam kalangan masyarakat.

Antaranya tentang wanita hamil akan mendapat pahala berpuasa pada siang hari dan pahala beribadah pada waktu malam.

Ibu yang menyusukan anak pula akan mendapat satu pahala daripada setiap titisan susu dan wanita yang berjaga malam kerana anaknya akan mendapat pahala seperti membebaskan 70 orang hamba.

Begitu juga dengan dakwaan bahawa wanita yang mula sakit hendak bersalin akan dikurniakan penyejuk mata yang tidak diketahui oleh penduduk bumi dan langit.

”Ingin saya tegaskan bahawa semua hujah tersebut adalah hadis palsu kerana perawinya ‘Amru al-Khawlani banyak meriwayatkan hadis palsu sepertimana yang dijelaskan oleh Ibn Hibban, Ibn Jauzi dan Zahabi. Maka, kita tidak boleh beramal mahupun menyebarkan lagi hadis itu,” tegasnya.

Kepada satu soalan, ahli akademik berkenaan berkata, seandainya seorang wanita ditakdirkan meninggal dunia semasa bersalin, kematiannya dianggap sebagai mati syahid.

”Ini kerana perjuangannya bukan sesuatu yang mudah sehinggakan ALLAH SWT meninggikan darjat mereka.

”Ia termasuk juga kepada wanita yang meninggal dunia selepas bersalin iaitu sepanjang tempoh nifas disebabkan proses kelahiran tersebut,” katanya.

Ganjaran terhebat

Senada dengan Sharifah Fadylawaty ialah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Jelas beliau, selain mati syahid berjuang pada jalan ALLAH, Rasulullah SAW memberikan kita panduan bahawa terdapat beberapa lagi jenis kematian yang boleh dikategorikan sebagai syahid. Antaranya meninggal dunia disebabkan wabak taun atau sakit perut.

Baginda SAW bersabda: ”Terdapat lima jenis kematian yang dianggap syahid iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit berkaitan perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan ALLAH.” (Riwayat al-Bukhari)

Dr Ahmad Sanusi menambah, ia dianggap sebagai syahid akhirat iaitu jenazah mereka diuruskan seperti orang yang meninggal seperti biasa. Namun, mereka akan beroleh ganjaran syahid di akhirat kelak.

”Al-Imam al-Nawawi menjelaskan, kelima-lima jenis kematian itu dianggap sebagai syahid kerana mereka menghadapi maut tidak seperti manusia biasa. Seksaan yang mereka lalui lebih daripada yang lain. Dengan itu, mereka digelar sebagai syahid akhirat.

”Sementara itu, al-Imam Ibn al-Tin menyatakan pandangan yang hampir sama.

“Kematian yang berat sebegini adalah penyuci dosa mereka, menambah ganjaran buat mereka, lalu ALLAH SWT mengangkat kedudukan mereka sebagai syahid,” jelasnya.

Dalam hadis lain pula, jelas ahli akademik itu, Rasulullah menjelaskan bahawa wanita yang meninggal disebabkan melahirkan anak boleh dianggap sebagai mati syahid iaitu kategori syahid akhirat.IKLANhttps://48a7614c140a9c50bc93b634c9fadd26.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html

Sabda baginda SAW: ”Orang yang mati syahid dalam kalangan umatku hanyalah sedikit. (Mereka ialah) orang yang mati berjihad di jalan ALLAH lalu mereka memperoleh syahid, orang yang mati kerana taun, dia dianggap syahid. Orang yang mati tenggelam turut mendapat syahid. Orang yang mati kerana sakit perut turut dikira syahid. Dan wanita yang mati kerana nifas, dia akan ditarik oleh anaknya menuju syurga dengan tali pusarnya.” (Riwayat Ahmad

ANDAI seorang ibu gugur ketika proses bersalin atau sepanjang tempoh nifas akibat proses kelahiran bayinya, maka kematiannya dianggap sebagai mati syahid.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Sanusi Azmi turut memperbetulkan tanggapan segelintir pihak yang menganggap bahawa wanita bersalin akan bersih daripada dosa seperti bayi yang baru dilahirkan.

Walaupun terdapat sebuah hadis yang memerihalkan tentang pahala besar di sisi ALLAH kepada wanita mengandung dan bersalin, beliau menjelaskan, sebahagian ulama menyatakan bahawa ia adalah hadis daif, malah ada yang menghukumkannya sebagai palsu.

”Oleh yang demikian, lebih baik andai kita menggunakan Hadis Sahih al-Bukhari yang menyatakan bahawa setiap kesukaran dan keperitan yang dilalui oleh seorang Muslim akan menghapuskan dosa-dosa kecilnya.

”Dosa-dosa yang dimaksudkan di sini adalah dosa kecil kerana perlakuan yang melibatkan dosa besar perlu kepada taubat dan penyesalan kepada ALLAH SWT,” jelasnya.

Islam mengangkat martabat wanita sebagai ibu, isteri, anak

SEWAKTU zaman jahiliah, kaum wanita dilayan dan dipandang hina. Bahkan, golongan itu langsung tidak dihargai apabila hak mereka dirampas, ditindas dan dizalimi tanpa belas kasihan.

Ia termasuklah hak terhadap diri sendiri dan tidak dapat mewarisi harta pusaka. Perkara itu diceritakan dalam al-Quran melalui Surah an-Nahl, ayat 58 dan 59.

Pendakwah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da’i Adneen berkata, semenjak kedatangan Islam, kezaliman dan keganasan terhadap kaum wanita telah dihapuskan. Bahkan, martabat dan kedudukan wanita sebagai ibu, isteri dan anak telah diangkat tinggi dalam agama suci ini.

“Hak-hak wanita diberikan dengan sewajarnya sekali gus membawa perubahan besar terhadap status wanita,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Rasulullah SAW bersabda: “Dan berpesanlah kepada wanita dengan kebaikan, kerana sesungguhnya dia diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian yang paling bengkok adalah tulang rusuk yang paling atas, jika kamu berusaha untuk meluruskannya, nescaya akan patah, jika kamu membiarkannya, dia akan sentiasa bengkok, maka berpesanlah terhadap wanita dengan kebaikan.” (Riwayat Muslim)

Bukan itu sahaja, ujar Da’i Adneen, ALLAH SWT merakamkan beberapa keistimewaan wanita dalam al-Quran. Antaranya kaum Hawa diberikan hal dalam pewarisan harta pusaka dan memperoleh mahar dalam pernikahan.

“Begitu juga halnya dengan perlindungan kehormatan wanita. Agama Islam sangat menitikberatkan tentang perkara itu sehinggakan ALLAH SWT mensyariatkan golongan berkenaan untuk menutup aurat dengan sempurna.

“Tujuannya supaya mereka terhindar daripada pandangan syahwat dan terpelihara maruah diri,” jelasnya.

Ditanya tentang pernyataan bahawa kaum wanita mudah untuk mendapatkan pahala dan dosa, Da’i Adneen menjelaskan, setiap yang bergelar manusia pada hakikatnya mudah untuk mendapatkan dosa dan pahala, baik lelaki mahupun wanita.

Walaupun kaum Hawa dikurniakan haid pada setiap bulan, ia bukanlah penghalang untuk mereka terus meraih ganjaran pahala daripada ALLAH SWT.

“Antara amalan mudah yang boleh dilakukan oleh wanita ketika datang bulan agar memperoleh ganjaran berterusan adalah dengan memperbanyakkan bersedekah. Amalan ni mempunyai ganjaran yang besar di sisi ALLAH SWT.

“Selain itu, wanita berhadas besar juga digalakkan untuk membaca doa dan berzikir. Paling mudah, lazimkan diri dengan zikir Saidatina Fatimah iaitu Subhanallah dan Alhamdulillah masing-masing sebanyak 33 kali dan Allahuakbar sebanyak 34 kali. Ia sepertimana yang dilakukan oleh puteri Rasulullah SAW itu setiap kali selepas solat.

“Seperkara lagi, biasakan diri untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, sekali gus membuktikan kecintaan kita kepada baginda,” sarannya. -Sinar Plus

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts