Bukan Muslim tidak boleh jadi PM di Malaysia: Mufti Wilayah

 

KUALA LUMPUR: Jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri hanya harus dipegang oleh orang Muslim sahaja.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, selain Perdana Menteri, hanya orang Muslim juga yang dibenarkan untuk memegang jawatan berkenaan portfolio hal ehwal Islam dan pertahanan negara.

Bagaimanapun jelasnya, hukum asal mengundi bukan Muslim dalam pilihan raya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus.

Namun ujarnya, ia kecuali apabila terdapat sifat mendatang seperti memberi ancaman kepada kemuliaan Islam, tiada sifat amanah dan tiada kepakaran dalam melaksanakan tugas.

“Kesemua faktor ini haruslah diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih, selain memastikan jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, portfolio hal ehwal Islam dan pertahanan negara adalah kekal disandang oleh orang Muslim yang berkelayakan sahaja,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan miliknya.

Dalam pada itu katanya, hasil penelitian juga mendapati, tiada dalil qath’ie (muktamad) yang melarang untuk mengundi calon bukan Muslim dalam PRU di Malaysia dan melantik mereka sebagai pemimpin.

“Ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan hujah untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang-orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya.

“Adapun bagi golongan bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka larangan tersebut tidak terpakai,” katanya.

Dalam pada itu kata Zulkifli, hal itu termasuk di bawah topik siyasah syar’iyyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan minoriti.

“Tanpa menafikan bahawa majoriti ulama silam mengharamkan pelantikan non-Muslim sebagai pemimpin dan keharusan hanya diberikan apabila terdapatnya darurat.

“Ini dapat difahami memandangkan konteks hubungan Muslim dan non-Muslim pada waktu tersebut berbeza dengan sekarang,” tambahnya. – Astro Awani

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts