Cadangan buka rumah pelacuran tidak boleh diterima, wajar ditolak

PUTRAJAYA – Cadangan supaya diwujudkan rumah pelacuran bukan sahaja bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah malah secara jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam dan Maqasid Syariah.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar, cadangan itu tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat.

“Dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, kaedah
fikah berikut sewajarnya dijadikan panduan; Kemudaratan itu tidak boleh
dihilangkan dengan kemudaratan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam pelakon terkenal, Datuk Rosyam Noor dalam satu rancangan bual bicara podcast mencadangkan supaya membuka rumah pelacuran kepada warga asing sebagai langkah mengurangkan kes rogol dalam negara ini.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat kecaman pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Naim berkata, menurut undang-undang di Malaysia pelacuran merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan Akta 574.

Katanya, antara peruntukan berkaitan kesalahan pelacuran adalah seperti di bawah Seksyen 372 – menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan, Seksyen 372A – hidup daripada hasil persundalan atau perdagangan persundalan, Seksyen 372B – mencari langganan bagi maksud persundalan dan Seksyen 373 – menguruskan rumah persundalan.

Berdasarkan pendapat ulama, Naim berkata, ulama daripada mazhab Maliki, Syafi’e dan
Hanbali meluaskan skop zina dengan memberikan definisi zina sebagai,
‘persetubuhan haram sama ada melalui vagina ataupun dubur oleh seorang lelaki dewasa yang siuman dengan perempuan yang bukan isterinya’.

“Manakala, rogol pula diistilahkan oleh sebahagian ulama seperti Ibn `Abidin daripada mazhab Hanafi dan al-Sharbini dari mazhab Syafi`e sebagai ‘al-zinā bi al-ikrāh’ yang bermaksud zina dengan paksaan.

“Manakala, sebahagian ulama lain pula, seperti Imam Malik dan Imam al-Syafi`e menggunakan istilah ‘ightiṣāb’ yang secara langsung membawa maksud rogol.

“Secara umumnya, kebanyakan ulama terdahulu membincangkan isu rogol di bawah jenayah zina kerana ia mempunyai perkaitan yang rapat, iaitu persetubuhan haram. Walau bagaimapun, setelah meneliti definisi zina yang diberikan dalam kitab-kitab turath, beberapa ulama kontemporari seperti `Awdah, Al-Masha`ili, Al-Zuhayli dan Zaydan menegaskan bahawa mazhab yang empat membezakan antara jenayah zina dan rogol dengan elemen kerelaan.

“Malah, mereka memilih definisi zina oleh Al-Zaila`i sebagai takrif yang terbaik kerana memasukkan elemen kerelaan yang secara jelas menunjukkan perbuatan yang dilakukan tanpa paksaan,” katanya. – Malaysia Tribune

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts