Celakanya jerat Zionis menjajah Baitulmaqdis

 

1. Kecelakaan besar menimpa seluruh umat Islam apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bakal mengumumkan peralihan kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

2. Bahaya sekali tindakan Trump ini kerana ia mengukuhkan dakwaan bahawa Baitulmaqdis – tempat suci ketiga umat Islam – adalah sememangnya ibu negara Israel sepertimana yang diidam-idamkan Zionis Israel sejak sekian lama selepas menakluknya secara haram melalui siri peperangan dengan negara-negara Arab.

3. Mengapa Trump berani bertindak sebegini meskipun telah diberi amaran oleh kuasa seperti Turki, Jerman, Perancis, dan Kesatuan Eropah?

4. Langkah kontroversi Trump ini selari dengan lobi kuat pro-Israel dalam kempen pilihan raya presiden AS 2016 antaranya oleh Sheldon Adelson, seorang pemilik kasino Yahudi yang menderma sebesar USD25 juta kepada kempen Trump. Adelson bahkan sebenarnya sejak Jun lagi menunjukkan kemarahan kepada Trump kerana menangguhkan rancangan pengalihan kedutaan AS ke Baitulmaqdis ini. Trump jelas sekali ingin terus menambat hati para pendukung kuatnya dengan memenuhi janji manifesto pilihan raya beliau tentang Baitulmaqdis.

5. Maka tidak menghairankan apabila Israel menyambut gembira keputusan Trump ini, hingga ke tahap di mana Menteri Naftali Bennett sanggup mengecam Presiden Turki Erdogan yang menentang langkah Trump itu.

6. Faktor utama yang memudahkan Trump mengambil langkah ini ialah hakikat bahawa negara-negara Arab dilihat semakin bergantung pada AS sama ada dari segi perlindungan ancaman politik, kepentingan ekonomi, mahupun dari segi aset sistem persenjataan. Kesepakatan AS-Arab sewaktu Riyadh Summit 2017 membuktikan hal ini.

7. Meskipun para pemimpin Arab seperti Raja Abdullah II dari Jordan, Presiden al-Sisi dari Mesir, dan bahkan Raja Arab Saudi iaitu Raja Salman turut dilaporkan menzahirkan kebimbangan kesan buruk yang bakal tercetus, namun reaksi mereka tidak seagresif Turki. Keadaan ini berbeza sama sekali dengan nasib yang diterima Qatar yang serta-merta dipulau secara besar-besaran oleh pakatan Arab kerana kurang akur kepada agenda mereka.

8. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan bahkan telah sejak dari awal lagi memberi amaran keras betapa tindakan Trump mengalihkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis bakal memutuskan hubungan diplomatik Turki-Israel. Erdogan melaungkan bahawa Baitumaqdis adalah ‘garisan merah’ yang sama sekali tidak boleh dicerobohi penjajahan Israel dengan izin Washington. Perlu diingat, Erdogan pernah menggantung hubungan Turki-Israel selepas peristiwa pembunuhan Mavi Marmara.

9. Malah meskipun negara-negara Arab memiliki kerangka pakatan ketenteraan ala NATO Arab, hampir mustahil pakatan itu dijadikan sandaran tekanan apatah lagi dikerahkan untuk melindungi tempat suci ketiga umat Islam itu. Hal ini sama sekali berbeza dengan nasib yang diterima Yaman yang diserang sejak 2015 kerana menggulingkan Abd Rabu Mansour Hadi yang direstui Arab Saudi.

10. Mungkin negara-negara Arab masih mengingati bagaimana mereka dikalahkan dengan begitu memalukan oleh Israel yang disokong Amerika dalam Perang Enam Hari 1967 dan Perang Ramadan (Yom Kippur) 1973. Maka, boleh difahami apabila mereka hari ini mengutamakan kekuasaan politik di negara mereka sendiri dengan dibantu modal dari pelaburan Amerika. Pastinya nasib negara-negara seperti Iran, Korea Utara, Cuba dan Venezuela yang dikenakan sekatan perdagangan dan transaksi antarabangsa ingin dielakkan.

11. Kuatnya pengaruh lobi Yahudi Zionis dalam pentadbiran AS bukanlah rahsia. Sarjana Profesor John Mearsheimer dari University of Chicago dan Profesor Stephen Walt dari Harvard University telah mengupas secara akademik peranan “gabungan pakatan longgar Yahudi di Amerika” dalam karya mereka “The Israel Lobby and U.S. Foreign Policy”.

12. Sarjana Mearsheimer dan Stephen Walt menunjukkan secara jelas bagaimana pertubuhan seperti American Israel Public Affairs Committee (AIPAC) mencengkam sebahagian besar proses pembuatan keputusan dan dasar utama di Amerika – dari badan eksekutif hinggalah ke badan legislatif seperti Kongres. Lobi Zionis ini pada hakikatnya bukan sahaja menjadikan Amerika sebagai ‘proksi’ Israel, bahkan bertentangan pula dengan kepentingan nasional Amerika itu sendiri.

13. Dasar Amerika di Asia Barat ialah antara isu di mana kepentingan Israel bercanggahan pada asasnya dengan kepentingan nasional Amerika. Dalam pada Amerika terpaksa membiayai pelbagai kelengkapan persenjataan luar biasa Israel, Amerika juga dalam masa yang sama terpaksa turun berperang dan membiayai kempen serangan di Iraq, Afghanistan, Syria, dan juga Libya.

14. Keadaan yang sama boleh dilihat dalam kes kali ini di mana Trump berani merancang untuk mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan seterusnya memindahkan kedutaan AS ke sana. Sama sekali berbeza dengan lobi kumpulan berkepentingan lain, lobi Zionis di Amerika cukup berkesan. Hal ini disokong kekuatan kewangan yang mereka miliki, disamping hubungan yang cukup mendasar dengan para elit di sana – termasuklah dengan Trump.

15. Masjid al-Aqsa pula sememangnya seringkali menjadi sasaran agresif Yahudi Zionis kebelakangan ini. Beberapa bulan sebelum ini, buat pertama kali dalam sejarah sejak 1969, Israel telah berani menghalang umat Islam daripada beribadat di Masjid Al-Aqsa.

16. Dalam peristiwa itu, tentera Zionis bukan setakat menembak mati tiga warga Palestin yang menentang halangan Israel ini serta mencederakan 140 yang lain, mereka bahkan menembak Imam Masjid Al-Aqsa yang juga merupakan bekas Mufti Besar Palestin Sheikh Ikrima Sabri selepas solat.

17. Hakikatnya, Baitulmaqdis Timur yang dijajah Israel pada hari ini 86 peratus berada di bawah kawalan Israel dengan 200,000 penduduk Yahudi yang membuka petempatan haram di atas tanah yang diiktiraf dunia sebagai milik Palestin. 140,000 daripada penduduk Palestin yang sah di Baitulmaqdis sebaliknya dikepung secara kejam oleh tembok haram yang dibina Israel sejak 2002 tanpa akses terus kepada bekalan keperluan harian.

18. Penderitaan 324,000 warga Palestin di Baitulmaqdis juga tidak boleh disembunyikan. Media utama melaporkan hanya 59 peratus sahaja daripada mereka yang memiliki akses sumber air rasmi, pembangunan infrastruktur yang dihalang, pemaksaan membayar cukai kepada pihak berkuasa Israel, dan seterusnya penangkapan mereka yang tidak berupaya membayar cukai berkenaan.

19. Ternyata, jerat Zionis yang dipasang sejak sekian lama semakin membuahkan hasil bagi menguasai Baitulmaqdis sepenuhnya. Bermula dengan proksi Empayar British, seterusnya lobi di Amerika, dan kini berjaya pula mengekang kuasa Arab dan menyahstabilkan Asia Barat, Israel semakin hampir bakal diisytiharkan pemilik tanah suci ketiga umat Islam oleh Donald Trump. Sejauh manakah umat Islam akan bertindak balas? Adakah jalan perang Intifada akan dimulakan kembali atau langkah jangka panjang menjadi pilihan? Ataukah kedua-duanya sekali?

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber: https://www.facebook.com/muein.abadi/posts/10210473589505536

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts