Dari pentas dakwah ke padang bola

Kuala Lumpur: Tiada siapa menyangka pegawai serta petugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sinonim dengan pentas dakwah mampu untuk bersukan secara profesional sama seperti pasukan bola sepak profesional lain.

Buktinya, pasukan bola sepak Jakim yang dikenali sebagai Jakim FC menyertai Kejohanan Piala Emas Raja-Raja dan bakal menentang Kelantan, Sabtu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menerusi satu kiriman di Facebook (FB) berkata, pasukan ini berbeza dengan yang lain kerana membawa nama jabatan itu sendiri iaitu Jakim.

“Kita ingin beritahu bahawa Islam tidak anti sukan kerana Islam itu syumul iaitu menyeluruh cuma di sana ada panduan yang sudah ditetapkan mengikut syariat.

“Saya tubuhkan kelab bola sepak Jakim ini memang untuk berdakwah secara ‘bil hal’ menerusi jalan riadah, kita mahu tunjukkan macam mana pakaian yang mengikut syariat dan akhlak Islam.

“Akhlak Islam ini adalah permainan secara adil atau ‘fairplay’ apabila di padang, kita juga menganjurkan kempen pemain tidak merokok,” katanya.

Beliau yang juga pengasas kepada pasukan Jakim FC mendoakan supaya pasukan berkenaan kekal istiqamah dalam menyampaikan dakwah menerusi pelbagai kaedah dan salah satunya adalah riadah.

Jakim FC bakal bertemu dengan Kelantan Sabtu ini dan menerusi saingan dalam zon timur, pasukan berkenaan akan berdepan dengan Pahang serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Pada masa sama, Pengurus Pasukan Jakim FC, Dr Zamihan Mat Zin berkata, pasukannya sudah melakukan persiapan untuk bertemu dengan Kelantan di Kota Bharu, Sabtu ini.

“Kita juga mahu buktikan bahawa pegawai serta petugas Jakim tidak hanya berdakwah menerusi platform dakwah konvensional sebaliknya menerusi pelbagai kaedah dan cara.

“Menerusi riadah, kita mampu untuk berdakwah dan menonjolkan identiti Islam ketika bersukan dan saya mengharapkan bahawa pasukan ini mampu untuk memberi persaingan sepanjang Kejohanan Piala Emas Raja-Raja ini, Insya-Allah,” katanya – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts