home Semasa Dari seorang model ke muslimah berniqab: Kisah hijrah Natasha Hudson

Dari seorang model ke muslimah berniqab: Kisah hijrah Natasha Hudson

 

Ramai yang masih terkejut dengan imej baharu model dan aktres jelita Natasha Hudson atau lebih mesra disapa sebagai Tasha. Ada yang menganggap perubahan Tasha sangat drastik, kerana terus mengenakan niqab setelah berhijrah.

Namun, apa yang ramai tidak tahu adalah keputusan berniqab bukanlah baru bagi Tasha. Dalam post terbaru yang dimuatnaik di akaun tumblrnya, Tasha mencoretkan bagaimana dirinya suatu ketika dahulu dan apa yang membuatkannya ingin berubah. Sebak baca kisah dan kesungguhan Tasha untuk berhijrah! Moga jadi inspirasi buat semua.


Pernah buka niqab sebelum ini

Bismillahirahmanirahim… Assalamualaikum,

Ramai yang masih tertanya-tanya apa yang terjadi kepada Tasha sehingga membuatkannya berhijrah. Tasha menjelaskan hidup adalah suatu perjalanan mencari diri sendiri. Dunia adalah cubaan kepada kita semua. Allah mahu hamba-Nya benar-benar pasti dan bahagia. Allah memberi banyak peluang kepada manusia. Ramai yang tidak tahu bahawa Tasha pernah mengenakan niqab sebelum ini semasa proses penghijrahannya, kecuali mereka yang mengikuti akaun instagramnya.

Tasha membuka kembali niqabnya setahun lalu. Selepas hijrahnya pada tahun 2012, Tasha mengambil inisiatif untuk menyambung pelajaran. Dia mula mencintai agama dan menjadi ekstrim serta ketagih untuk mempelajarinya. Tasha menghadiri semua kelas, kursus dan seminar agama yang ada. Dia sangat dahagakan ilmu pengetahuan. Dia turut mempengaruhi orang di sekelilingnya. Namun, bukan semua tertarik untuk mengikuti hijrahnya.

Tasha memberitahu dirinya bahawa setiap orang ada jalan hidup yang tersendiri. Dia tidak mahu membuang masa kerana hidup ini singkat dan dia harus membuat yang terbaik untuk diri sendiri dan orang di sekelilingnya.

Hidup Tasha yang dulu terumbang-ambing. Lahir daripada perkahwinan kacukan, keluarga yang bercerai-berai, anak sulung yang terpaksa berdikari mencari wang dalam dunia hiburan dan glamour, pernah dilanda kontroversi kerana bercerai di usia muda, pernah menjadi ibu tunggal, berjaya buat banyak duit daripada kerjaya di dunia hiburan, kesemua itu tidak membawa Tasha kemana-mana kecuali kekosongan yang bersarang didalam dirinya.

Suami pembimbing utama

Tasha sekali lagi berkahwin dengan seseorang yang telah dikenali sejak zaman remaja. Benda itu terjadi tanpa dirancang. Mereka menjalinkan hubungan selama 3 tahun sebelum berkahwin. Ketika itu Tasha masih lagi tidak pasti dengan keputusannya. Tapi rancangan Allah lebih besar. Suatu hari ketika masih bercinta, lelaki tersebut memberi Tasha sebuah hadiah yang tidak pernah diberi oleh sesiapa pun kepadanya sebelum ini. Tiket penerbangan ke tempat yang paling baik di dunia.

Tasha mahu bertaubat dan menyembuhkan luka-luka lama dari masa silam. Tempat tersebut adalah tempat yang betul-betul ingin dikunjungi oleh Tasha, iaitu Makkah dan Madinah Al Munawarah. Lelaki tersebut pergi dahulu ke tanah suci dan kemudian Tasha menyusul. Itu merupakan peluang untuk mencari petunjuk Allah kerana kedua-dua mereka mahukan jawapan.

Alhamdulillah, tidak lama selepas Tasha pulang dari tanah suci mereka berkahwin dalam satu majlis ringkas yang diadakan di masjid dan dihadiri oleh keluarga dan rakan-rakan. Mereka mempunyai 3 orang cahaya mata sekarang. Lelaki tersebut tidak pernah putus asa untuk membimbing Tasha ke jalan yang lurus. Dia sentiasa berdoa agar Tasha tidak terjatuh kembali ke cara hidupnya yang lama.

Mahu tinggalkan hal duniawi

Hijrah bukannya mudah. Tasha mendapat kawan baru, hilang kawan-kawan lama dan juga hilang kerja. Terlalu banyak ujian yang menimpa dan Tasha terpaksa mencari petunjuk Allah berulangkali. Iri hati, cemburu dan tamak adalah sifat yang membunuh manusia. Tasha mahu menjauhkan diri dari segalanya yang mencemarkan. Tapi Tasha memberitahu dirinya bahawa kadang-kadang dengan bersendirian adalah cara terbaik untuk mencari ilmu dan kepastian tentang diri kita. Kita perlu mengubati hati kita sendiri.

Tasha meninggalkan group chat dan mengasingkan diri dari kawan-kawannya sehingga mereka tertanya apa yang terjadi sekarang. Ia adalah sesuatu yang sukar dijelaskan. Secara mental dan fizikalnya, ia mengambil masa untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Tasha dikelilingi orang bijak pandai dan insan-insan hebat yang mahukannya maju lebih ke hadapan.

Semakin banyak ilmu yang ditimba, semakin Tasha ingin mengasingkan diri dari semua orang dan meninggalkan segala hal-hal duniawi. Dia terasa mahu meninggalkan kerja dan bisnesnya. Tasha telah letih dengan kecantikan dan perhatian dari orang lain. Sehinggalah suatu hari dia mengambil keputusan untuk memakai niqab semula dan terus mencari Allah.

Keputusan itu membawa kejutan dalam hidup Tasha. Tasha terpaksa berhadapan dengan peluang yang terhad. Ia merupakan satu medan perang buat Tasha sehingga orang-orang yang rapat dengannya turut memanggil Tasha wahabi. Tasha didiskriminasikan oleh sesetengah orang. Tasha menerima tekanan hebat, terutamanya ketika hamil.

Dia kemudiannya membuka hijab tapi masih memakai khimar. Pun begitu, dia tidak henti-henti berdoa dan pergi ke majlis-majlis agama. Tasha mahukan asas yang kukuh dan bidang kerjaya yang lebih baik. Ketika itu dia rasa seperti mahu mengajar. Kepada ketentuan Allah, Tasha menyerahkan nasibnya dan sentiasa kembali kepada-Nya ketika mencari jawapan hidup.

Inspirasi hijrah untuk wanita lain

Beberapa bulan lalu Tasha teringin untuk memakai niqab kembali. Dia banyak membaca buku tentang niqab dan kepentingannya, tentang agama, nabi dan sahabat-sahabat baginda. Tasha dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang berniqab. Dia juga menemui ketenangan dalam membaca Al-Quran. Tasha mula mengajar Sirah, pengajian Islam, Hadis dan hafazan ringkas kepada kanak-kanak. Dia bertandang dari rumah ke rumah untuk mencurahkan khidmatnya. Tasha semakin bahagia apabila segalanya berlaku seperti yang sepatutnya.

Tasha mula memakai niqab kembali beberapa hari lalu dan dengan kasih sayang Allah, dia telah ditawarkan beberapa kerja untuk mengajar kanak-kanak serta tawaran-tawaran lain yang datang secara tiba-tiba. Tasha gembira dengan keputusan yang diambil kerana dia tidak mahu mengambil hati sesiapa kecuali penciptanya. Anak-anaknya sangat menyokong keputusan Tasha, terutamanya puteri sulungnya yang berumur 8 tahun.

Tasha mengharapkan doa daripada semua orang yang membaca kisah ini, dan mengharapkan ceritanya boleh menjadi inspirasi kepada wanita-wanita diluar sana agar mengambil satu langkah pada satu masa untuk berhijrah. Di hujung kisah ini, Tasha mencoretkan potongan-potongan terjemahan dari ayat Al-Quran untuk dikongsikan kepada semua orang. Ujarnya, kita tidak perlu menggembirakan sesiapa kecuali pencipta kita.

“(Lalu Kami perintahkan kepadanya): “Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)”. [ Al-Israa’: 14 ]

“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.” [ Al-Nahl: 98 ]

“Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu.” [ Al-Israa’: 45 ]

Hijab:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
[ An-Nur: 31 ]

Sumber: #theroadtiperfection  
Kredit: Oh Bulan

www.indahnyaislam.my

text gambar

One thought on “Dari seorang model ke muslimah berniqab: Kisah hijrah Natasha Hudson

Leave a Reply to Wirda daud Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *