Ternyata suasana sebegitu amat mendamaikan buat siapa sahaja yang berkunjung ke DQ, terutama mereka yang sibuk dengan 1,001 tugas dan permasalahan di kota besar seperti Kuala Lumpur.

Hati menjadi semakin tenang apabila melihat suasana penuh Islamik yang wujud di pusat tahfiz itu. Bukan sahaja ramai pelajar yang begitu tekun menghafaz al-Quran, suasana indah juga dibayangi dengan kesopanan tinggi ditunjukkan oleh kumpulan pelajarnya.

Tidak sahaja pelajar dididik untuk murah dengan senyuman dan memberi salam kepada sesiapa sahaja, adab sebagai seorang Muslim sentiasa dijaga.

Malah rasa hormat kepada guru yang ditunjukkan oleh pelajar amat tinggi. Begitu hebat budaya Islam sebenar diperlihat di institusi tahfiz tersebut.

Sering menjadi destinasi tumpuan orang ramai, kesempatan terbaik itu digunakan dalam mempromosi cara hidup masyarakat Islam sebenar terutama kepada bukan Islam atau golongan Islamfobia yang merasakan agama suci ini adalah agama mengajar keganasan.

Ibarat taman-taman syurga dunia, seluruh kawasan DQ digunakan penghuninya untuk mengalunkan bacaan al-Quran dan menghafaz kalimah suci Allah SWT itu.

Bermula dari subuh hingga larut malam, pasti ada tubuh-tubuh yang tekun menelaah al-Quran sama ada secara berkumpulan atau bersendirian.

Namun begitu, tidak bermakna semua penghuni di DQ langsung tidak bersosial dengan orang ramai di luar sana.

Jangan dipandang rendah kerana ada antara mereka adalah bekas pemain bola sepak handalan pada peringkat negeri masing-masing dan memiliki kemahiran sosial yang baik.

Bagi mengeratkan hubungan penghuni DQ dengan masyarakat setempat dan orang ramai umumnya, satu majlis besar-besaran diadakan bermula 1 hingga 5 Ogos.

Majlis tersebut bersempena dengan dua program penting untuk meraikan golongan huffaz yang tamat pengajian di institusi tahfiz tersebut:

  • l Program Ihtifal Huffaz Peringkat Kebangsaan kali keenam dengan menyaksikan pelbagai aktiviti sukan dan outdoor dijalankan, sekali gus menyaksikan himpunan atlet DQ.
  • l Majlis Istiadat Konvokesyen ke-26 esok (5 Ogos). Bagi memeriahkan sambutan majlis konvokesyen tersebut, pelbagai aktiviti dan program disediakan kepada orang ramai yang berkunjung ke ekspo pusat tahfiz tersebut.

Penganjuran program seumpama itu diharap dapat mengeratkan hubungan baik DQ dengan pihak luar, seterusnya memberi gambaran sebenar dunia Islam kepada masyarakat bukan Islam. – Utusan

www.indahnyaislam.my