Titah membuka minda Melayu-Islam

 

Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada majlis ‘Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat’ di Putrajaya pada 5 Ogos lalu, memang tepat pada waktu dan adat, apabila menitahkan antara lain berbunyi:

“Perkara yang dipersetujui ketika penggubalan Perlembagaan Merdeka, menyentuh prinsip asas, tidak harus diperdagangkan untuk meraih keuntungan politik jangka pendek; tidak wajar dikorbankan kerana kepentingan untuk mengutamakan atau melindungi mana-mana pihak, baik organisasi mahupun individu.

“Prinsip asas, terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan. Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah pada hari ini dan hari muka. Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian tegas, tidak berundur, walau setapak sekalipun.”

Demikianlah tersurat dan tersirat sejarahnya, bahawa tiga entiti mantap berkenaan – Islam, Raja dan orang Melayu – yang diabadikan dalam Perlembagaan Persekutuan 1957, tetap memasakkan tiang seri utama kedaulatan Raja-Raja Melayu yang pernah memerintah negeri di Tanah Melayu itu sejak 900 tahun sebelumnya. Leluhur susur-galurnya berakarumbikan ‘perlembagaan’ Kesultanan Melayu Melaka itu sendirinya (Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned, 1995).’

Capai perpaduan

Demi sesungguhnya amat tepat juga pada waktunya anak watan dalam kalangan sarjana, pemikir, pakar bidang dan intelegensia Melayu-Islam bertungkus-lumus mengusahakan konvensyen sedemikian untuk mencapai perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia umumnya di samping membuka ruang wacana mengenai peranan institusi Raja menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan negara, membungkah semula leluhur utama sebuah watan bernama Malaysia yang kaya dengan urutan sejarah Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kerajaan Islamnya, terkenal seantero Nusantara lalu disegani Benua India dan China ketika itu.

Generasi Melayu-Islam kini perlu menyambut Titah DiRaja berkenaan dalam menentukan corak nasib masa depannya sendiri di atas paksi ilmu dan kebenaran untuk tampil sebagai ummah yang gagah lagi mantap, berasaskan sumber agama Islam yang suci lagi murni yang diimani.

Dalam hal ini, kita berpandangan bahawa umat Melayu-Islam mesti kembali kepada manhaj ilahi yang jitu lagi benar di samping mempunyai jati diri berteraskan nurani yang jelas berpaksikan ilmu yang benar – yakni kefahaman Islamnya yang menyeluruh – kerana itu sahajalah jalan penyelamat muktamad yang menjamin kejayaan hidupnya.

Cari, belajar ilmu yang benar

Jaminan ini sebenarnya diberikan oleh Allah SWT dalam Firman-Nya menerusi surah Ali ‘Imran: 59: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Apabila kita menerima sesuatu konsep asing bukan daripada Islam, umpamanya teori liberalis-sekularis-pluralis yang cuba memisahkan urusan agama daripada urus tadbir negara atau teori sains empirikal Barat lainnya, sebagai seorang Muslim, kita mesti berusaha mencari dan mempelajari ilmu yang benar agar mempunyai keupayaan menilai dan menyaring konsep itu mengikut tasawwur atau weltanschauung Islam yang betul, neraca dan perspektif Islam yang murni berdasarkan nas teks Islam yang sahih dan bukannya menerusi pendekatan liberal-sekular atau mengamalkan pluralisme (Naquib al-Attas, Prolegomena to the Metaphysics of Islam, 1995).

Inilah pegangan dan naratif Islam yang jernih lagi benar. Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW berpesan kepada umat Baginda:

“Telah aku tinggalkan kepadamu dua perkara – jika kamu berpegang kepada kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya: Kitabu’Llah dan Sunnahku.”

Dengan demikian, Melayu-Islam akan menjadi berani menerima perubahan yang baik lagi benar, walaupun perubahan itu sesuatu yang asing buat kita. Ini demi membina daya ketahanan diri – fizikal dan spiritual – untuk (a) menerima apa-apa yang baik walaupun bukan daripada kita dan (b) menolak apa-apa yang buruk walaupun daripada kita sendiri.

Untuk mampu merealisasikan dan melaksanakan cita-cita besar ini, umat Melayu-Islam perlu mempersiap diri dengan bekalan ilmu yang benar dan secukupnya. Cabaran ilmu ini adalah di antara cabaran terbesar bagi umat Islam (Naquib al-Attas, Islam and Secularism, 1978). Cita-cita besar tanpa persiapan ilmu untuk memikul tugas dan tanggungjawab besar sudah pasti akan menyebabkan kita tergelincir di pertengahan jalan kerana kehabisan ‘modal’ dan ‘bekalan’ seperti pesan Allahyarham Syaikh Mustafa Masyhur dalam siri tulisan terkenalnya, at-Tariq ad-Da’wah (Jalan Da’wah).

Transformasi diidamkan

Sehubungan itu, Melayu-Islam juga mesti berani menolak ‘nilai negatif Melayu’ yang telah diwarisi sejak turun-temurun yang tidak secocok, malah bertentangan dengan Islam seperti konsep lapuk ‘nasi secupak tidak akan jadi segantang’, menghabiskan masa berborak kosong di samping mengumpat, kuat hasad dengki, malas (Hussin al-Attas, The Myth of a Lazy Native, 1977), kurang daya saing dan sebagainya.

Menoleh kembali kecemerlangan dahulu kala, bukankah sarjana dan ulama besar Melayu-Islam seperti Tun Seri Lanang, Syaikh Hamzah Fansuri dan Raja Ali Haji sudah menyusunsediakan panduan ketatasusilaan cukup mantap dalam historiografi dan kitab-kitab Melayu klasik untuk generasi penerus mereka? (Tatiana Denisova, Refleksi Historiografi Alam Melayu, 2011).

Sesungguhnya umat Melayu-Islam mesti berani bangkit membuka minda demi merubah diri ke arah inovasi dan menuju transformasi yang diidamkan.

Zainal Zainuddin
Felo Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)

Sumber: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2017/08/314270/titah-membuka-minda-melayu-islam

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts