Ada apa pada 27 Ramadhan?

HD-Earth-Wallpaper-Free-Download

 

Setinggi syukur dipanjatkan kepada Allah s.w.t atas anugerah nikmat iman dan Islam, serta nikmat yang sering dilupakan iaitu sihat dan masa lapang.

Hari ini kita melangkah ke detik-detik terakhir Ramadhan. Jika semalam kita mengucapkan ‘selamat datang’, esok akan tiba waktu untuk diucapkan ‘selamat tinggal’. Semoga Ramadhan kali ini meninggalkan bekas di dalam jiwa kita, agar lebih taat dan patuh kepada perintah Yang Esa, dan meninggalkan laranganNya.

Ada apa pada 27 Ramadhan?

Di dalam surah Al-Qadr, Allah s.w.t. menceritakan kepada kita tentang Lailatul Qadr dan kelebihannya, malam tersebut adalah malam yang diturunkan Al-Quran dan malam itu adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Para ulamak sebenarnya berbeza pendapat dalam menentukan malam Lailatul Qadr. Namun disana ada dikalangan mereka yang mentarjihkan bahawa malam itu adalah malam yang ke 27 Ramadhan. Pendapat ini sebenarnya berasaskan kepada riwayat sahabat dan beberapa isyarat i’jaz yang mengisyaratkan kepada tarikh ini.

Di dalam Sahih Muslim, Imam Muslim telah merekodkan sebuah riwayat daripada Ubai bin Ka’ab, katanya : “Demi Allah, yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya ia (Lailatul Qadr) berada dalam bulan Ramadhan. Demi Allah aku mengetahui pada malam manakah ia, iaitu malam yang Rasulullah s.a.w perintahkan kita untuk mendirikannya, itulah malam yang paginya adalah pagi ke 27 Ramadhan”

(Sahih Muslim)

Kemudian, di dalam Surah Al-Qadr, kita akan dapati beberapa isyarat yang menunjukkan kepada malam tersebut :

1) Perkataan ‘Lailatul Qadr’ (ليلة القدر) didalam Bahasa Arab terdiri daripada 9 huruf. Kemudian, lafaz ini datang sebanyak 3 kali di dalam Surah Al-Qadr. Kemungkinan hikmah di sebalik perkara ini adalah isyarat kepada malam yang ke 27 Ramadhan. Kerana hasil darab antara bilangan huruf dan bilangan kalimah (ليلة القدر) didalam surah ini menghasilkan angka 27. Formulanya, 9×3=27, iaitu 9 (bilangan huruf) x 3 (bilangan kalimah Lailatul Qadr dalam Bahasa Arab) = 27.

2) Jumlah keseluruhan perkataan di dalam Surah Al-Qadr semuanya adalah 30 perkataan. Kemudian kalimah ‘هي’ pada ayat dibawah didalam surah ini berada pada turutan yang ke 27 :

(سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ)

Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

[Al-Qadr : 5]

Dhamir munfasil (ضمير منفصل) ‘هي’ di dalam ayat ini tidak lain kembali kepada Lailatul Qadr. Maka ayat ‘sejahteralah malam itu’, dhamirnya berada pada tertib yang ke 27 daripada jumlah 30 keseluruhan kalimah di dalam surah.

Kemungkinan hikmah di sebalik 30 kalimah tersebut adalah isyarat kepada 30 hari bulan Ramadhan dan hikmah kedudukan dhamir ‘هي’ pada tertib yang ke 27 adalah isyarat kepada malam yang ke 27 Ramadhan.

Terakhir, walau bila pun waktunya, tetap kita perlu memohon kepada Allah agar diberi kesempatan untuk bertemu dan mendirikan malam tersebut.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita Lailatul Qadr, dan memanjangkan usia kita agar beroleh peluang untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadhan pada kali ke seterusnya.

Wallahu’alam

*Artikel ini adalah olahan daripada tafsiran Dr Solah Abdul Fattah Al-Khalidi berkenaan malam Lailatul Qadr di dalam kitab beliau Lataif Quraniyyah (لطائف قرآنية). Tafsiran ini adalah tafsiran dan pendapat Dr Solah bersama para ulamak lain dan ia masih terbuka untuk perbahasan serta perbincangan.

Sumber: https://www.facebook.com/berinteraksidenganalquran

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts