Denda RM1,000, penjara jika tidak puasa


Georgetown: Umat Islam di Pulau Pinang yang didapati sengaja makan atau minum di khalayak ramai tanpa sebarang halangan atau uzur syar’ie ketika Ramadan boleh dikenakan tindakan undang-undang iaitu denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, menurut Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

“Sepanjang bulan puasa nanti, Pulau Pinang akan menganjurkan kempen hormati Ramadan dengan mengadakan operasi bersepadu iaitu antara manifestasi kesungguhan pentadbiran Islam negeri ini untuk mengajak umat Islam agar sama-sama memuliakan bulan suci.

“Objektif operasi bersepadu itu bertujuan meningkatkan kesedaran umat Islam di samping membanteras tindakan tidak menghormati Ramadan seperti sengaja makan atau minum di khalayak ramai tanpa sebarang halangan atau uzur syar’ie,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata, mengikut Seksyen 15, tindakan juga boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menjual kepada orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam tempoh wajib berpuasa ketika Ramadan.

Katanya, selain itu, tindakan boleh dikenakan terhadap individu Islam yang secara terbuka atau berada di tempat awam yang didapati minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya.

“Operasi itu akan dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dengan kerjasama agensi seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, JHEAIPP sudah mengenal pasti kira-kira 120 lokasi panas dan operasi akan turut memberi tumpuan terhadap aspek kebersihan premis dan pengendalian makanan, pematuhan syarat permohonan lesen serta lain-lain yang berkaitan mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Kami berharap dengan operasi bersepadu ini mampu menimbulkan kesedaran buat umat Islam Pulau Pinang untuk menjadikan Ramadan pada tahun ini adalah Ramadan yang terbaik untuk semua,katanya. – Metro Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts