Desak batalkan konsert Coldplay, ganti program kemanusiaan

BANGI – “Di saat kita masih bersedih dengan kezaliman  ke atas saudara di Palestin, adakah kumpulan Coldplay wajar diberi tempat untuk mengadakan konsert di Malaysia?”

Demikian persoalan diutarakan Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Irwan Fahmi Ideris dalam satu kenyataan, hari ini.

Meskipun penganjuran konsert kumpulan muzik rock antarabangsa itu sudah dijadualkan lebih awal, namunt tegasnya atas dasar solidariti konsert ini wajar dibatalkan.

Bukan sahaja Coldplay, malah PERKASA mengecam apa jua jenis konsert yang membawa budaya hiburan berlebihan di negara ini.

“PERKASA menggesa kerajaan untuk membatalkan konsert Coldplay dan menggantikan dengan program-program yang berunsur kemanusiaan dan keagamaan untuk menyatakan solidariti kita kepada Palestin. 

“PERKASA juga membantah apa juga jenis konsert terutama sekali yang melibatkan artis luar negara yang membawa masuk unsur negatif dan budaya songsang Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender, Queer (LGBTQ) seperti yang pernah dibawa kumpulan rock Britain, The 1975 di Sepang sebelum ini,” katanya.

Irwan berkata, kerajaan sepatutnya menganjurkan dengan lebih kerap program keamanan dan kemanusiaan supaya dapat mendidik masyarakat untuk bersama-sama menghayati penderitaan rakyat Palestin yang sedang ditindas oleh Israel. 

“Kerajaan harus ikhlas dalam menyampaikan mesej solidariti dengan penganjuran program program yang lebih bermanfaat di masa akan datang,” katanya.

Dijangkakan, seramai 85,000 penonton bakal memenuhi Stadium Nasional Bukit Jallil pada 22 November bagi menyaksikan persembahan mega band ikonik asal United Kingdom itu.

Terdahulu, di negara jiran Indonesia, beratus-ratus umat Islam membantah konsert Coldplay pada hari Rabu (15 November), susulan sokongan kumpulan itu terhadap komuniti LGBT.

Beberapa kumpulan Islam turut menggesa konsert itu dibatalkan.

Di luar stadium menjelang konsert tersebut, sekurang-kurangnya, 300 orang Islam berkumpul untuk melaungkan bantahan dan memegang sepanduk menentang persembahan itu, menurut seorang wartawan AFP.

Persembahan di Stadium Gelora Bung Karno di ibu kota Jakarta adalah sebahagian daripada Jelajah Dunia Music of the Spheres kumpulan itu dan lebih 70,000 tiket habis dijual dalam masa beberapa jam selepas mula dijual tahun ini.

Walaupun konsert itu tetap dijalankan, beberapa warga maya di Indonesia melaporkan pelbagai masalah yang berlaku pada hari konsert tersebut.

Ia termasuk berlakunya masalah membabitkan sistem tiket, penipuan ‘ulat tiket’ serta penganjuran yang tidak teratur sehingga menyebabkan pengunjung merempuh antara satu sama lain dan menyebabkan keadaan menjadi kacau bilau.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts