Didik anak mencintai Rasulullah SAW

 

1. Menurut al-Imam al-Suyuti, Rasulullah pernah berpesan kepada Saidina Ali supaya mendidik anak-anak dengan tiga sifat utama. Perkara pertama yang disebut oleh Rasulullah adalah menanam rasa cinta kepada Rasulullah iaitu dengan menjadikan Rasulullah sebagai idola (contoh dan qudwah) dalam kehidupan mereka. Sabda Baginda Nabi:

أدِّبُوا أوْلادَكُمْ على ثلاثِ خِصالٍ حُبِّ نَبِيِّكُمْ وَحُبِّ أهْلَ بَيْتِهِ وقِراءَةِ القُرآنِ فإِنَّ حَمَلَةَ القُرآنِ فِي ظِلِّ الله يَوْمَ القِيامَةِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إلاَّ ظِلُّهُ مَعَ أنْبِيائِهِ وأصْفِيائِهِ

Maksudnya: “Didiklah anak-anak kamu tentang adab terhadap tiga perkata iaitu (1) mencintai Rasulullah, (2) mencintai ahli keluarga Baginda (3) serta ajari mereka membaca al-Quran. Sesungguhnya mereka yang menguasai al-Quran akan berada dibawah naungan Allah pada hari akhirat nanti bersama para Nabi dan orang2 soleh.”

2. Sekalipun al-Imam al-Munawi meletakkan hadith ini sebagai lemah (daif), namun dari aspek maksudnya, ianya adalah sangat benar. Ini bertepatan dengan hadith sahih yang menyebutkan bahawa tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dengan mencinta Rasulullah, dengan menjadikan Rasulullah sebagai orang yang paling dicintainya. Sabda Nabi:

لاَ يؤمِنُ أَحَدَكُم حَتّى أَكُونَ أَحَبّ إِلَيهِ مِن وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنّاسِ أَجمَعِينَ

“Tidak sempurna iman kamu sehingga dia menjadikan aku orang yang paling disayanginya, lebih dari anak, ibubapa mereka serta seluruh manusia.”

3. Dengan sebab itu para sahabat mendidik anak-anak mereka dengan Sirah Rasulullah sejak dari kecil. Ini supaya membina tasawur (gambaran) yang jelas tentang siapa idola mereka yang akan membentuk attitude serta corak pemikiran mereka.

4. al-Imam Ibn Kathir merekodkan kata-kata Ali ibn Husain (sebahagian menyatakan Sa’d ibn Abi Waqas) menyebut bahawa: Kami mempelajari tentang selok belok kehidupan dan peperangan Nabi (al-Maghazi) sepertimana kami mempelajari al-Quran. Kata Ali:

كنا نُعلَّم مغازي النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ كما نعلم السورة من القرآن ”

“Sesungguhnya kami mempelajari peperangan (Sirah) Rasulullah seperti mana kami mempelajari Surah daripada al-Quran.

5. Begitu juga Ibn Uqayl yang mendatangi Jabir ibn Abdulullah, seorang sahabat yang masyhur. Ibn Uqayl bertanyakan kepada Jabir tentang sirah Rasulullah lalu ditulisnya bagi tujuan generasi akan datang.

6. Al-Imam al-Zuhri pula menegaskan bahawa mempelajari sejarah Baginda adalah ilmu yang merangkumi dunia dan akhirat. Dari aspek dunianya, ia membina jati diri anak tersebut, dan dari segi akhiratnya ia mudah-mudahan akan ditempatkan bersama para Nabi. Kata al-Imam al-Zuhri:

. وكان الزهري يقول : علم المغازي والسرايا علم الدنيا والآخرة

“Kata al-Imam al-Zuhri: Sesungguhnya ilmu sejarah peperangan Nabi (Sirah Rasulullah) adalah ilmu buat bekalan dunia dan akhirat.”

7. Menanamkan rasa cinta Rasul dengan mengajarkan mereka sejarah kehidupan Baginda adalah bertujuan menjadikan Rasulullah itu sebagai panduan hidup mereka. Ini seiring dengan saranan al-Quran bahawa Rasulullah itu adalah contoh, qudwah buat kaum Muslimin.

8. Kecuaian kita dalam perkara ini barangkali menghasilkan generasi yang meletakkan penilaian yang tidak benar berhubung idola dalam kehidupan mereka sehingga menjadikan artis sebagai idola mereka. Bahkan mereka tidak rasa sensitif bila Rasul mereka dihina.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts