Dosa besar biarkan isteri atau anak perempuan khalwat lelaki ajnabi

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“ثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ أَبَدًا: الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ، وَالرَّجُلَةُ مِنَ النِّسَاءِ، وَمُدْمِنُ الْخَمْر.” فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ أَمَّا مُدْمِنُ الْخَمْرِ فَقَدْ عَرَفْنَاهُ، فَمَا الدَّيُّوثُ مِنَ الرِّجَالِ؟، قَالَ: “الَّذِي لَا يُبَالِي مَنْ دَخَلَ عَلَى أَهْلِهِ”

Maksudnya: “Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu lelaki yang dayus, wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Kami telah faham maksud orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu lelaki yang dayus?” Nabi SAW bersabda: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (10310)

Maksud dayus adalah bercabang pada lidah atau lemah lembut dengan makna mudah atau ringan.
Ia bermaksud seseorang lelaki yang tiada ghairah untuk mempertahankan keluarganya.

Kalimah dayyus iaitu setiap orang yang mengiyakan sebarang kejahatan terhadap ahli keluarga di bawah kekuasaannya dari kalangan isteri, anak perempuan dan saudara perempuan.
Sama ada ia membawa kepada zina atau jalan yang membawa kepada zina seperti mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi dan berkhalwat dengannya.

Manakala hadis daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ قَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ الْجَنَّةَ مُدْمِنُ الْخَمْرِ وَالْعَاقُّ وَالدَّيُّوثُ الَّذِي يُقِرُّ فِي أَهْلِهِ الْخَبَثَ

Maksudnya: Tiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga: Iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.

Riwayat Ahmad (5372)

Daripada nas-nas yang dinyatakan, jelas bahawa membiarkan isteri berzina dan terlalu bersangka baik terhadapnya adalah haram dan satu dosa besar. Mereka disebut sebagai lelaki dayus iaitu membiarkan dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh lelaki lain.

Disebabkan itulah, Islam sangat menuntut rasa cemburu dalam diri seseorang. Ibn Qayyim berkata: “Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga). Sesiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya. Kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga menjauhkan daripada kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati. Maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.”

Sumber : FB Abdullah Hussien

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts