Bahaya ungkapan ‘kalau’ pada akidah: Timbalan Mufti

 

Imam Muslim merekodkan hadis bernombor 1278 dalam bab takdir di bawah tajuk ‘Perintah agar kuat, tidak lemah dan perintah memohon pertolongan hanya kepada Allah,’ yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Apapun, kedua-duanya memang ada kebaikan (kerana beriman).

Bersungguh-sungguhlah mencapai sesuatu yang bermanfaat untuk kamu dan mohonlah pertolongan kepada Allah SWT dan janganlah kamu menjadi orang yang lemah. Apabila kamu ditimpa sesuatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan, ‘Kalau saya tadi berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan terjadi begini dan begitu’, tetapi katakanlah, ‘Ini sudah takdir Allah dan apa dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan. Sesungguhnya perkataan ‘kalau’ akan membukakan jalan syaitan.”

Rupa-rupanya perkataan ‘kalau’ yang sama maknanya dengan seandainya dan biasa dipertuturkan oleh rakyat Malaysia adalah asalnya diambil daripada perkataan ‘lau’ dalam bahasa Arab.

Apabila menelusuri komentar ulama mengenai hadis di atas, secara umumnya penggunaan perkataan ‘lau’ yang membawa maksud ‘kalau’ dan seandainya itu kepada dua keadaan.

Tak puas hati terhadap takdir

Keadaan pertama, ia digunakan dengan maksud berasa tidak puas hati terhadap takdir yang ditentukan oleh Allah SWT. Perkara ini dilarang Rasulullah SAW berdasarkan hadis di atas, bahkan ditegah oleh Allah SWT seperti dalam al-Quran:

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang (munafik) yang sudah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): “Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh.” (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu, penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan. (Ali Imran: 156)

Imam Nawawi mengatakan perkataan ‘kalau’ tercampak ke dalam hati manusia untuk menentang qadar Allah dan membuka ruang kepada syaitan untuk melakukan keraguan.

Penggunaan perkataan ‘kalau’ dalam dialog yang menggunakannya dengan persepsi betul terkandung pula adalah berdasarkan firmah Allah SWT:

“Mereka berkata (sesama sendiri): “Kalaulah ada sedikit bahagian kita daripada pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang yang ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing.” Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.” (Ali Imran: 154)

Keadaan kedua ialah menggunakan perkataan ‘kalau’ untuk menerangkan sesuatu yang bermanfaat seperti firman Allah SWT:

“Kalau ada di langit dan di bumi tuhan selain Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.” (Al-Anbiya’: 22)

Imam Nawawi mencatatkan jika mengungkap ‘kalau’ kerana menyesal disebabkan kecuaian tidak melakukan ketaatan pada masa lalu, maka ia tidak termasuk dalam kategori larangan. Lebih-lebih lagi ia akan menjadi motivasi untuk tidak mengulangi kecuaian yang lalu.

Persoal kejadian

Mempersoalkan sesuatu yang sudah dijadikan Allah adalah kesalahan, termasuk dalam larangan menggunakan perkataan ‘kalau’ apatah lagi jika mengeluarkan perkataan yang difahami seolah-olah mempertikaikan mengapa Allah menciptakan sesuatu.

Tidak kiralah apa juga profesion kita, lebih-lebih lagi yang menggunakan ucapan dan syarahan sebagai medium utama profesion seperti ahli politik, penceramah dan pensyarah, kita perlu berhati-hati ketika memilih setiap perkataan. Kita perlu menggeruni peringatan Rasulullah SAW: “Seorang lelaki mengucapkan satu kalimah yang dia memandang remeh dengan perkataan diungkapkan, menyebabkan dia terhumban ke dalam api neraka 70 tahun. (HR Tirmizi)

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts