Mimpi tidak ambil vaksin, bagaimana kedudukannya?

  1. Mimpi mempunyai satu kedudukan yang khusus dalam Islam. Mimpi secara umumnya terbahagi kepada tiga ; iaitu mimpi yang benar daripada Allah, mimpi daripada syaitan, dan mimpi daripada permainan jiwa manusia itu sendiri. Mimpi yang benar (ru’ya solihah) daripada Allah itu dikira 1 daripada 46 kenabian.
  2. Mimpi (merujuk kepada selain para Anbiya’) tidak boleh dijadikan hujjah untuk hukum-hakam dan apa jua kepercayaan dan iktikad. Ini kerana sifatnya tidak konsisten, sukar ditentukan kategorinya yang mana satu daripada ketiga-tiganya, dan ia mempunyai pelbagai tafsiran. Boleh jadi seseorang itu bermimpi sesuatu, dan ditafsirkan dengan suatu tafsiran oleh seseorang, tetapi mempunyai tafsiran lain oleh orang yang lain.
  3. Peranan mimpi (jika ia daripada Allah) adalah untuk memberi peringatan dan khabar gembira. Ia sama sekali tidak mengubah atau menambah apa-apa ajaran dalam agama kerana agama sudah lengkap, dan wahyu sudah pun terputus selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Pendek kata, jika ia baik, ambillah inspirasi daripadanya tanpa menyandarkannya kepada agama atau kepastian masa depan, dan jika ia suatu amaran, ambillah pengajaran daripadanya secara umum, tanpa menokok tambah sesuatu perkara secara muktamad.

  1. Jika seseorang bermimpi dan mendapat isyarat atau mesej untuk melakukan sesuatu, atau tidak melakukan sesuatu, dan perkara itu tidak pula bertentangan atau menokok tambah ajaran dalam agama, perkara ini boleh dilihat dalam beberapa sudut.

Keadaan 1 : Sekiranya perkara itu melibatkan urusan peribadi, seharusnya dia tidak menyebarkan perkara itu dan jika dia mahu melakukannya, lakukanlah secara sendirian tanpa sebarkan kepada orang lain. Lebih afdhal baginya mendapat tafsiran orang yang berkepakaran untuk mengetahui tafsiran mimpi tersebut supaya lebih jelas maksud mimpi.

Adapun untuk mengajak orang lain sekali untuk melakukannya, itu saya kira adalah keterlaluan. Ini kerana mimpi itu adalah mimpinya sendiri, bukan mimpi orang lain.

Keadaan 2 : Sekiranya perkara itu melibatkan perihal orang awam dan boleh melawan norma masyarakat awam yang telah sedia ada, maka mimpi itu seharusnya diberikan penafsiran oleh orang yang dikenali arif dalam ilmu takbir mimpi sebelum kita membuat andaian-andaian tertentu.

Secara umumnya jika apa yang diberitahu dalam mimpi itu bertentangan dengan amalan masyarakat yang telah pun melakukan ujikaji dan perbincangan secara masak dari sudut saintifik dan hukum syarak mengenai sesuatu perkara, maka perihal mimpi itu dan mesejnya tidak cukup kuat dan sekali-kali tidak dapat menolak kajian dan dapatan tersebut kerana tabiat mimpi itu sendiri tidak setanding dengan penemuan realiti yang membabitkan hukum syarak dan ujikaji oleh mereka yang pakar.

  1. Ada hadis yang menyebut : “Jika dunia menghampiri akhir zaman, hampir-hampir mimpi orang mukmin itu tidak salah” – Muttafaqun Alaih. Dan juga daripada riwayat yang lain menyebut : “Orang yang paling benar mimpinya, adalah orang yang paling benar kata-katanya” – Riwayat Muslim.
  2. Pada akhir zaman ini memang banyak mesej-mesej daripada pelbagai sudut dan dimensi. Mimpi orang beriman juga merupakan salah satu sudut untuk kita terima mesej dan pesanan tertentu jika difahami pada kerangkanya yang betul.
  3. Namun meletakkan dan menggantungkan segala daya dan usaha hanya pada sebuah mimpi, adalah satu perbuatan yang tidak masuk akal.
  4. Ini kerana kita ada Al-Quran, As-Sunnah, para ulama’, rujukan ilmu dan peninggalan turath para ulama’ yang cukup banyak untuk mendapat ilmu, mesej dan membina kefahaman, untuk hidup sebagai seorang hamba Allah di atas jalan istiqamah.
  5. Oleh itu saya rasa perlu disebut dan ditekankan, ia hanya 1 daripada 46 kenabian, dalam erti kata lain, ada lagi banyak sudut-sudut kenabian yang perlu diambil kira, berbanding 1/46 itu sahaja.
  6. Nabi SAW membina ummah, berjuang dan berhijrah, memasuki medan peperangan, menyampaikan dakwah dan risalah ke seluruh pelusuk alam, melakukan statistik dan mengambil asbab musabbab yang mujarab, untuk menyampaikan agama hingga sampai kepada kita hari ini.

Selayaknya kita melihat semua aspek itu, untuk benar-benar memahami apakah itu erti nubuwwah yang sebenar.

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Ancaman budaya Hedonsime

SALAH satu sisi gelap digitalisasi kepada masyarakat umum adalah ancaman budaya hedonsime. Ini adalah ancaman kepada paksi akhlak…