Elak syubhah, utamakan halal berbanding kesedapan makanan

BANGI – Umat Islam dinasihatkan sentiasa menjaga soal halal bagi mengelak makanan yang dijamah menjadi syubhah iaitu kesamaran kerana tidak jelas hukumnya antara halal dan haram.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, perkara ini penting supaya makanan yang akan menjadi daging dalam badan tidak membawa kepada pembentukan daging haram sehingga menyebabkan dosa.

“Makanan dan rezeki yang menjadi sajian kita akan mempengaruhi sikap, perangai, air muka, hati dan keseluruhan kehidupan. Sesungguhnya haram itu jelas, halal itu jelas dan antara kedua-duanya ada benda-benda yang syubhah.

“Sebab itu jangan lihat kesedapan makanan itu semata-mata tapi pastikan hidangan yang dijamah itu adalah halal dan disediakan secara sempurna.

“Masyarakat Melayu terutama golongan muda perlu ambil tanggungjawab dengan status makanan supaya tidak diragui halal dan haram,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas trend semasa yang memperlihatkan orang Islam gemar menjamu selera di kedai atau makan makanan disediakan oleh bukan muslim.

Kata Abdul Rahman lagi, dalam al-Quran, Allah SWT berfirman menerusi surah al-Maidah supaya orang-orang yang beriman mencari makanan yang baik dan halal.

Malah, katanya, Nabi Muhammad SAW dan para rasul yang lain juga diarahkan oleh Allah SWT untuk mencari makanan yang baik-baik.

Katanya, jika seseorang mengambil makanan daripada sumber halal, adalah diyakini keimanan serta ketakwaannya akan bertambah kukuh, mantap dan kuat.

“Sebaliknya, jika seseorang itu memakan makanan haram, maka diyakini imannya akan lemah dan akhirnya terhakis daripada hatinya.

“Rasulullah SAW menjelaskan orang yang mencari rezeki halal untuk memenuhi keperluan keluarganya sama seperti mujahid dan syuhada,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Judi dan akal syaitani

  1. TULAR baru-baru ini beberapa video berkenaan iklan judi di samping mengeksploitasi kesulitan kewangan rakyat marhaen lebih-lebih…