Guna teknologi ke arah kebaikan seiring prinsip Islam – PM

Kuala Lumpur: Penularan wabak Covid-19 banyak mengubah cara hidup Keluarga Malaysia kepada norma baharu termasuklah dalam aspek pengajaran dan pembacaan al-Quran.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia seiring teknologi dan keperluan umat Islam moden apabila al-Quran kini disediakan dalam pelbagai produk digital dan aplikasi perisian.

“Saya difahamkan sejak penularan wabak Covid-19, pembelajaran Al-Quran secara dalam talian semakin mendapat tempat.

“Banyak institusi sama ada kerajaan mahupun swasta memperkenalkan kelas pembelajaran al-Quran seperti tajwid, talaqqi, tarannum dan hafazan secara dalam talian.

“Usaha murni itu memudahkan capaian masyarakat untuk mempelajari ilmu membaca al-Quran,” katanya ketika berucap merasmikan penutup majlis Tilawah Al-Quran Johan Kebangsaan (MTQJK) Peringkat Kebangsaan 1443H di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, gabungan al-Quran dan teknologi dapat memperkuat serta memperjelas sesuatu fakta hujahnya dengan merujuk kepada hadis nabi, mazhab, sarjana, saintis Islam selain bukan Islam.

Menurutnya, perhubungan teknologi dan agama dipandang sebagai perhubungan roh serta jasad.

Katanya, teknologi dan agama saling menyempurnakan antara satu sama lain. Alam tabii perlu difahami, dikaji dan manusia akan beroleh manfaat daripadanya.

“Sebagai contoh, dalam majlis ini kita dapat melihat bagaimana teknologi digunakan ke arah kebaikan seiring dengan prinsip Islam.

“Majlis ini menyaksikan teknologi menghubungkan 26 orang qari dan qariah johan kebangsaan di seluruh negara yang bersiaran secara langsung dari 11 lokasi boleh disaksikan di pelbagai capaian media.

“Alunan ayat al-Quran dan ibrah huraian ayat pula dipancarkan kepada penonton menggunakan teknologi AR (augmented reality) yang menunjukkan Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada memaksimumkan penggunaan teknologi dalam kehidupan,” katanya.

MTQJK julung kali diadakan sebagai alternatif kepada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1442H/2021M.

Majlis selama lima hari yang bermula 22 Oktober lalu menghimpunkan seramai 26 qari dan qariah johan kebangsaan yang mempersembahkan bacaan mereka. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts