Hak Asasi Gaza Dilanggar, EU Pertimbang Henti Hubungan Dengan Israel

Brussels – Kesatuan Eropah (EU) mungkin akan mengambil tindakan untuk menambah tekanan terhadap Israel jika tiada “penambahbaikan konkrit” terhadap keadaan rakyat Gaza, kata Ketua Dasar Luar EU pada Isnin. Beliau turut menyatakan bahawa amat jelas Israel telah melanggar komitmen hak asasi manusia di Gaza dan Tebing Barat.

Dalam pertemuan bersama menteri-menteri luar EU di Brussels, Kaja Kallas berkata bahawa jika keadaan rakyat Palestin tidak bertambah baik, EU boleh membincangkan langkah selanjutnya dan kembali menyemak isu ini pada Julai nanti.

“Persoalan utamanya sekarang ialah – apakah langkah yang kita (EU) mampu persetujui?”

Namun begitu, tambahnya, keutamaan sekarang adalah untuk memperbaiki keadaan di lapangan, memperbaiki kehidupan rakyat Palestin, menghentikan penderitaan dan kehilangan nyawa yang berlaku setiap hari.

Para menteri luar EU membincangkan hubungan EU-Israel susulan laporan semakan yang dibentangkan oleh European External Action Service (EEAS) pada Jumaat. Laporan itu menyatakan terdapat “petunjuk” bahawa Israel mungkin telah melanggar perjanjian hubungan dengan EU dari sudut hak asasi manusia, khususnya melalui tindakannya di Gaza.

“Berdasarkan penilaian oleh institusi antarabangsa yang bebas… terdapat petunjuk bahawa Israel melanggar tanggungjawabnya terhadap hak asasi manusia,” menurut laporan audit tersebut.

Audit ini dilancarkan bulan lalu sebagai respon terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, disokong oleh 17 negara anggota EU dan dipimpin oleh Belanda.

Lisa Musiol daripada International Crisis Group, yang bekerja untuk mencegah konflik, berkata EU telah “terlepas peluang penting untuk menunjukkan kepada kerajaan Israel bahawa dasar mereka di Gaza dan Tebing Barat telah melampaui batas dan akan memberi kesan terhadap hubungan EU-Israel.”

Setakat ini, hanya Sepanyol yang secara terbuka menyeru agar perjanjian itu digantung. Namun, negara lain yang juga menyokong rakyat Palestin seperti Belgium, Ireland dan Sweden menegaskan perlunya tindakan.

Menteri Luar Sepanyol, José Manuel Albares, turut menyeru agar embargo senjata dikenakan ke atas Israel.

“Rakyat Gaza memerlukan tindakan, bukan lagi sekadar kecaman… kita telah mengecam selama berbulan-bulan. Tetapi kecaman tidak akan menghentikan perang yang tidak berperikemanusiaan ini di Gaza – hanya tindakan yang mampu menghentikannya,” tegas beliau.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot, pula memberitahu wartawan bahawa Israel telah “jelas melanggar” Artikel 2 dalam perjanjian EU-Israel, iaitu klausa berkaitan hak asasi manusia, dan para menteri akan “membuat keputusan susulan” dalam mesyuarat akan datang.

Namun begitu, Jerman, Greece dan Itali menolak cadangan untuk menggantung perjanjian tersebut.

Menteri Luar Belgium, Maxime Prévot, mengingatkan agar krisis kemanusiaan di Gaza tidak dilupakan.

“Ada negara yang mungkin berpendapat bahawa ini bukan masa sesuai untuk bertindak terhadap Israel, kerana Israel sedang menentang Iran demi keselamatan negaranya,” katanya.

“Tetapi saya percaya isu ini perlu dipisahkan. Kita tidak boleh abaikan darurat kemanusiaan yang sedang berlaku,” tambah beliau.

Menteri Luar Sweden, Maria Malmer Stenergard, juga menegaskan bahawa keadaan yang “amat parah” di Gaza tidak boleh dipandang ringan: “Rakyat sedang menderita dan kita tidak boleh hanya berdiam diri.”

Agnes Bertrand Sanz daripada Oxfam pula berkata:

“Dalam sejarah, ada masa di mana kelewatan dan kelengahan bukanlah perkara neutral – ia adalah satu keputusan.”

“Sementara menteri-menteri EU terus berdebat dan menangguh tindakan, keluarga-keluarga di Gaza sedang dikambus runtuhan bangunan dan ramai dibunuh ketika cuba mendapatkan makanan. Setiap saat yang ditangguhkan bermakna nyawa yang terkorban.”

Perjanjian EU-Israel yang dimeterai sejak tahun 2000 itu merupakan asas kepada hubungan perdagangan bernilai €68 bilion (RM350 bilion) antara 27 negara EU dengan Israel. EU juga merupakan pasaran eksport terbesar Israel, merangkumi sekitar satu pertiga daripada keseluruhan eksport negara itu.

Sumber : Quds News Network

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts